`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 28, 2024

Sultan Sharafuddin lancar Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza

 

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Masjid, Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Kota Kemuning. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza, iaitu antara inisiatif kerajaan negeri bagi membangunkan semula wilayah Gaza di Palestin.

Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan bertitah Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza, yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), melibatkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf di Gaza, yang memerlukan dana berjumlah RM8.7 juta.

Baginda bertitah projek pembangunan itu melibatkan pembinaan satu blok Apartmen Darul Ehsan berjumlah RM3 juta, Masjid Darul Ehsan (RM4 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).

“Beta menyeru kepada rakyat dan semua pihak di negeri Selangor, untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan dan keperitan penduduk Gaza, dengan memberi sumbangan agar kita dapat membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza,” titah baginda dalam kenyataan.

Sultan Selangor turut berkenan menerima sumbangan daripada dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (RM200,000) dan sumbangan peribadi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebanyak RM50,000, untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

Baginda turut menitahkan supaya pengumpulan dan penyaluran sumbangan berkenaan dibuat dan diselaras menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari), melalui akaun Maybank Islamic Berhad bernombor 562106718620, agar pengurusan serta pengelolaan dana itu dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

“Beta mendoakan semoga Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat negeri Selangor untuk membantu umat Islam di Gaza,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan tabung berkenaan pada Majlis Perasmian Masjid, Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Kota Kemuning. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.