`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, April 15, 2024

2 kaki dipotong, penolong jurutera MBSA saman hospital

 

Free Malaysia Today
Isman Ibrahim (berkerusi roda) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memfailkan saman terhadap sebuah hospital terkemuka selepas mendakwa menjadi orang kurang upaya (OKU) akibat kecuaian doktor bedah.

Isman Ibrahim, 41, memfailkan saman terhadap hospital itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, kerana menyebabkannya kehilangan kedua-dua kaki lima tahun lalu.

“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama hingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau ditemui selepas prosiding kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Hazizah Kassim.

Isman berkata, pemotongan kedua-dua kaki dibuat hingga paras paha, selain perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah.

“Semasa semua ini terjadi, isteri saya mengandung anak keempat. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu.

“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan saya,” katanya.

Selain terpaksa dipotong kaki, kakitangan MBSA itu berkata, kecuaian pakar bedah hospital berkenaan mengakibatkannya mengalami sakit saraf teruk setiap dua hari.

“Tidur saya tidak lagi lena sejak lima tahun lalu. Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat.

“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Isman, Firhat Muhd Fikri Isman, memaklumkan prosiding terbabit sepatutnya untuk perbicaraan, namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guam.

“Tuntutan saman awal adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin termasuk mendapatkan kos sebenar bagi kaki palsu.

“Kita mahu anak guam menjalani kehidupan seperti biasa. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.