`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 8, 2024

Disyaki ugut peminjam, 7 ahli sindiket Ah Long ditahan

 

Ketua Polis Johor M Kumar berkata sindiket akan memaksa peminjam membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah tinggi antara 20 hingga 50% daripada jumlah pinjaman. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terbabit aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah ini bermula 28 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata semua mereka berusia antara 29 hingga 46 tahun dipercayai menerima upah daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah terhadap mangsa yang gagal membuat bayaran pinjaman.

“Mereka dipercayai bergiat aktif sejak Januari lalu dengan mendapat upah RM600 untuk menyimbah cat dan RM1,000 untuk melakukan khianat dengan menggunakan molotov cocktail ke rumah mangsa,” katanya dalam sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati ketujuh-tujuh warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kumar berkata, hasil siasatan mendapati sindiket pinjaman wang terbabit menyasarkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan urusan transaksi kemasukan serta pembayaran balik pinjaman menggunakan akaun bank yang didaftarkan di luar negara.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan membuat iklan tawaran pinjaman wang di Facebook dengan kapsyen “Singapore legal money lenders” untuk memperdaya peminjam.

Menurutnya, wang akan dimasukkan ke dalam akaun setelah peminjam memberikan butiran seperti nombor akaun, permit kerja serta alamat tempat tinggal walaupun perjanjian pinjaman belum dipersetujui.

“Sindiket akan memaksa peminjam membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi antara 20 hingga 50% daripada jumlah pinjaman yang diberikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 436, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.