`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 8, 2024

Guna teknologi canggih, IoT tingkat kecekapan KLIA, gesa pakar

 

Pada Februari, sebuah portal bisnes menyenaraikan KLIA pada tangga ke-8 dalam senarai lapangan terbang paling teruk di Asia.

PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan mencadangkan operasi penyelenggaraan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diintegrasikan dalam satu platform bagi memperbaiki sistem lapuk sedia ada seperti didedahkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Wan Agyl Wan Hassan, rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners berkata, kecekapan sistem di terminal 1 dan 2 KLIA juga boleh ditambah baik dengan penggunaan analisis dan sensor internet kebendaan (IoT).

Menurutnya, warga kerja KLIA juga perlu diwajibkan mengikuti program latihan pembangunan profesional secara berterusan, selain mesyuarat berkala diadakan membabitkan pihak berkepentingan seperti syarikat penerbangan, penyedia perkhidmatan, dan badan pengawalseliaan.

“KLIA perlu beralih daripada penyelenggaraan reaktif tradisional kepada model prediktif bagi mencegah kegagalan sistem sebelum terjadi,” kata bekas ketua dasar dan perancangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu kepada FMT.

“Penggunaan analisis dan sensor IoT membolehkan peralatan di KLIA dipantau mengikut waktu nyata, penyelenggaraan tepat pada masanya, mengurangkan gangguan dan meningkatkan kebolehpercayaan.”

Jumaat lepas, Loke dalam program audio siar Keluar Sekejap berkata, sistem lapuk dan aspek penyelenggaraan, serta pengendalian bagasi penumpang yang lama menyebabkan penarafan KLIA menjunam.

Pada Februari, sebuah portal bisnes menyenaraikan KLIA pada tangga kelapan dalam senarai lapangan terbang paling teruk di Asia, dengan skor berjumlah 3.36 diberikan oleh pengembara perniagaan.

Menurut laporan itu, kekurangan kemudahan yang selesa di lapangan terbang menjadi antara punca prestasi KLIA merosot.

Pelancong juga dilaporkan sering mengeluh mengenai reka bentuk KLIA yang kurang baik sehingga menyebabkan barisan panjang dan mereka perlu berjalan jauh untuk ke terminal.

Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia Noor Zaleha Baharuddin pula berkata, KLIA sepatutnya berpotensi menarik ramai pelancong berulang kerana “reka bentuknya yang gah”, namun perkhidmatannya masih kurang cekap.

“Ini kemungkinan antara sebab kita tak ramai terima pelancong berulang, akibat ‘buah mulut’ dan kesan imej dalam kalangan mereka yang ingin ke Malaysia,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.