`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, April 8, 2024

Menteri mahu adakan pertemuan selesai isu MPM tak iktiraf pakar

 

Zambry Abd Kadir berkata, beliau dimaklumkan tentang keengganan MPM mengiktiraf program kepakaran tertentu selepas beliau mengambil alih KPT pada Disember lepas.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) bagi mencari penyelesaian isu kursus kepakaran tidak diiktiraf oleh universiti tempatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata, beliau mahu melibatkan KKM agar punca masalah itu dapat dikenal pasti dan penyelesaian dapat dicapai secepat mungkin.

Semua hospital pengajar terletak bawah bidang kuasa KPT.

“Saya harap saya dapat bertemu mereka selepas Hari Raya,” katanya kepada FMT.

Beliau juga akan mendapatkan bantuan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad untuk menyelesaikan isu ini.

“Dari segi bidang kuasa, (isu ini) terletak bawah KKM. Jadi, apa yang saya cuba lakukan adalah mengharmoniskan dua kementerian dan pergi ke akar, (memahami) apakah isu dan masalahnya,” kata Zambry.

Beliau berkata, pertemuan itu juga akan melibatkan wakil Universiti Sains Malaysia (USM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri itu mengambil tindakan sedemikian selepas sekumpulan doktor tajaan kerajaan membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang terhadap MPM.

Enam doktor terbabit – graduan USM dalam bidang patologi (genetik perubatan) – berusaha mendapatkan semakan kehakiman untuk memaksa MPM mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan agar mereka boleh berkhidmat sebagai pakar di Malaysia.

Mereka mendakwa keengganan MPM menyenaraikan mereka sebagai pakar adalah “tidak munasabah dan tidak rasional”, bersamaan salah laku oleh pengawal selia perubatan itu.

Menurut afidavit, kumpulan doktor itu memohon agar keputusan MPM itu dibatalkan, serta deklarasi pematuhan terhadap syarat pendaftaran dan perintah memaksa MPM mendaftarkan mereka.

Zambry berkata, beliau dimaklumkan tentang keengganan MPM mengiktiraf program kepakaran tertentu selepas beliau mengambil alih KPT pada Disember lepas.

Katanya, beliau juga tidak membantah sekiranya Dzulkefly mahu mengetuai perbincangan berhubung isu tersebut kerana kerajaan mahu mengkaji punca masalah ini yang telah merebak menjadi kebimbangan yang besar di negara ini.

“Kita akan maklumkan kepada MQA apa langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan,” katanya.

Kursus USM diiktiraf oleh 2 kementerian

Kursus genetik perubatan USM telah diiktiraf sebagai kursus pakar oleh KPM dan KPT. Biasiswa kerajaan turut ditawarkan bagi kursus tersebut, yang diterima oleh enam doktor terbabit.

Bagaimanapun, MPM enggan mengiktiraf kursus tersebut dan meminta USM agar mendapatkan akreditasi semula baginya.

Keputusan MPM itu mencetuskan kontroversi, dilihat sebagai membatalkan pengiktirafan oleh KPM dan KPT sebelum ini.

Rekod rasmi yang dilihat oleh FMT menunjukkan bahawa doktor-doktor terbabit telah diwartakan sebagai pakar oleh sama ada KPT atau ketua pengarah kesihatan, yang juga presiden MPM.

Semakan dengan daftar pakar menunjukkan bahawa seorang pakar genetik perubatan yang terlatih dengan USM tersenarai pada 2015 selepas menamatkan kursus yang sama dengan enam doktor tersebut.

Pada masa ini, terdapat 10 pakar genetik perubatan di Malaysia tetapi hanya seorang yang tersenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan, membolehkannya berkhidmat sebagai pakar.

Minggu lepas, Dzulkefly berkata, Akta Perubatan 1971 dijangka dipinda pada sidang Dewan Rakyat Jun ini bagi membetulkan isu berkaitan dengan pengiktirafan pakar oleh MPM.

Beliau menegaskan komitmen KKM untuk menambah bilangan pakar bagi menampung keperluan negara.

Bagaimanapun, beliau masih belum mengesahkan sama ada pindaan undang-undang itu akan terhad kepada calon program laluan selari (parallel pathway), melibatkan universiti luar negara, atau merangkumi semua kursus kepakaran, termasuk kes doktor patologi genetik terbabit. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.