`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, April 20, 2024

Pembangkang sedia runding selepas PM kata tiada syarat sokong beliau

 

Free Malaysia Today
PN berharap rundingan dengan kerajaan akan membuka jalan kepada penyaluran peruntukan tanpa syarat kepada semua Ahli Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) sedia berunding dengan kerajaan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mengenakan syarat untuk wakil rakyat pembangkang menyokongnya bagi mendapat peruntukan.

Menyifatkannya sebagai langkah ke depan, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata pembangkang bersedia berunding susulan keterbukaan perdana menteri itu dan berharap perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof membuahkan hasil.

Menurutnya, pihaknya berharap rundingan itu akan membuka jalan kepada penyaluran peruntukan tanpa syarat kepada semua wakil rakyat termasuk pengenalan undang-undang dana itu diberikan bukan atas budi bicara perdana menteri seperti sekarang.

“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang masing-masing mempunyai peranan untuk bangunkan negara.


“Pihak kami tentu bersedia dan terbuka untuk berbincang lanjut dengan Fadillah,” kata Ahli Parlimen Beluran itu kepada FMT.

Semalam, Anwar yang juga menteri kewangan memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan syarat untuk pembangkang menyokongnya bagi mendapat peruntukan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata sebaliknya syarat yang bakal terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) itu hanya melibatkan kestabilan kerajaan bagi menjamin ekonomi negara.

Kerajaan ketika ini sedang merangka satu draf MoU bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk rundingan seterusnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata penetapan syarat tertentu dalam MoU hanya akan mengongkong mereka dari menjadi pembangkang yang baik serta melancarkan proses semak imbang.

“Patut tak perlu ada syarat, kerana ini hak rakyat yang mengundi dan bayar cukai,” kata Ahli Parlimen Machang itu.

Tahun lalu, PN tidak meneruskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang selepas mendakwa Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu.

Isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menjadi antara alasan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepada Anwar.

Mereka terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.