`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 26, 2024

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia, Thailand berentap lagi pada final

 

Noraizat Mohd Nordin (tengah) beraksi tangkas ketika menentang Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi kejayaan mara ke pentas akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw buat kali ketiga apabila mengetepikan cabaran negara serumpun, Indonesia 2-0 pada saingan separuh akhir di Stadium Titiwangsa malam ini.

Keputusan yang dilakar sekali gus menyaksikan misi menamatkan dominasi sepak takraw Thailand kian membara, berbaki beberapa jam lagi sebelum aksi akhir berlangsung petang esok, selepas seteru utama itu turut mara selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 iaitu 15-8, 15-9 bagi regu pertama dan 15-5,15-10 bagi regu kedua.

Perlawanan esok ialah pentas final ketiga Kejohanan Piala Dunia buat kedua-dua pasukan dengan Thailand meraih dua kemenangan masing-masing pada 2011 di Kuala Lumpur diikuti edisi 2017 di Hyderabad, India.

Pada aksi menentang Indonesia, ketua jurulatih negara Ahmad Jais Baharun membuat percaturan meletakkan Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin menggalas tanggungjawab memberi mata pertama negara dengan keputusan 15-12 dan 15-9.

Kemenangan itu turut menyuntik motivasi regu utama negara Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias yang turun pada perlawanan kedua dengan kemenangan ‘straight set’ 15-9 dan 15-7.

Sementara itu, Amirul Zazwan ketika ditemui selepas perlawanan menyifatkan strategi jurulatih mencatur pemain pada saingan separuh akhir membuahkan hasil apabila menundukkan Indonesia dalam pertarungan 100 minit tersebut.

“Beliau tahu kemampuan semua pemain dan kami percaya antara satu sama lain. Buat masa sekarang, kita tak fikir siapa yang akan diturunkan esok sebab beliau mahu kami hadapi perlawanan satu-persatu,” katanya.

Kali terakhir skuad Malaysia meraih kemenangan ke atas Thailand dalam acara berpasukan adalah paa Sukan SEA Manila 1991 ketika turut dibarisi ketua jurulatih skuad sepak takraw negara Ahmad Jais.

Rabu lepas, skuad kebangsaan melakar sejarah apabila berhasil menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan pasukan negara itu pada pertandingan akhir acara regu dan ‘double’ masing-masing dengan keputusan 2-0. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.