`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 18, 2024

Apakah mereka ‘utusan’ tuhan?

 

Free Malaysia Today

Entah kenapa seorang lelaki yang memberhentikan keretanya di tepi jalan di seberang sana menarik perhatian saya. Saya di seberang sini sedang melepak bersama isteri. Kami minum teh di restoran mamak yang mejanya disusun di luar, di kaki lima jalan. Memang kesukaan orang kita apabila malam lebih gemar memilih duduk di luar, tidak di dalam restoran.

Saya melihat waktu di telefon bimbit. Sudah sekitar jam sebelas malam. Lelaki itu keluar dari keretanya dan berjalan menuju ke but belakang keretanya yang sudah terjungkit terbuka.

Dia mahu mengambil sesuatu dari dalam but keretanya. Dia sempat memandang ke arah restoran tempat kami melepak tetapi pandangannya tidak menunjukkan sebarang reaksi pelik. Dia buat-buat biasa sahaja.

Kenapa dia buat saya tertarik sejak awal tadi sebab saya berasa ada sesuatu tentang dirinya yang unik. Dan benar, ketika itu jugalah di sudut yang lain saya melihat sebuah pandangan yang amat mempesonakan.

Di balik sana tidak jauh dari keretanya telah muncul beberapa ekor kucing jalanan, berbagai rupa dan warna, barangkali sepuluh ekor, ada yang kecil dan ada yang besar.

Menambahkan lagi pelik apabila muncul juga dari arah lain sekitar tujuh atau lapan ekor, anjing-anjing jalanan. Kucing-kucing dan anjing-anjing ini seperti sudah faham waktu tersebut.

Lelaki itu, kucing-kucing serta anjing-anjing seakan telah berjanji untuk bertemu pada waktu itu, di situ. Lelaki tersebut mengeluarkan bungkusan dari but keretanya.

Dia membahagi-bahagikan makanan untuk kucing dan untuk anjing. Binatang-binatang ini makan makanan tersebut tanpa berebut dan bergaduh. Seminit dua memerhatikan kucing dan anjing makan, lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam keretanya dan berlalu.

“Hari-hari memang itu macam,” kata seorang pelayan restoran kepada saya.

Barangkali lelaki tadi pergi beri makan anjing dan kucing jalanan di tempat lain pula. Siapa suruh dia buat begitu?

Di kampung tempat saya tinggal di sini pun ada seorang kawan yang berperangai begitu. Ja’ie nama panggilannya. Berusia pertengahan 50, setiap hari Jai’e akan memasakkan makanan di rumah dan dengan motosikalnya dia pergi ke pekan membawa baldi berisi makanan.

Dia berhenti di simpang jalan masuk kampung, menyendukkan nasi berlauk ayam rebus untuk anjing-anjing di situ. Kemudian dia meneruskan lagi entah sampai kemana, saya pun tak tahu.

Itulah rutin harian Jai’e selepas menoreh getah pada awal pagi. Lewat petang dia buat lagi kerja-kerja bagi binatang makan. Adakalanya saya berselisih dengannya di jalan dan dapat melihat sendiri apa yang dia buat. Timbul rasa takjub dalam hati saya kepadanya.

“Memang dia macam tu sejak kecil. Balik sekolah dia akan bermain dengan ayam. Dengan kambing atau lembu. Dia memang sayang binatang,” kata maknya kepada saya.

Jai’e juga ada memelihara anjing untuk menjaga tanam-tanamannya. Begitu juga saya. Jai’e itulah orangnya yang memberikan saya dua ekor anak anjing buat saya pelihara dan latih untuk menjaga keselamatan keliling rumah saya. Kampung kami memang banyak haiwan liar seperti kera, beruk, babi hutan dan lotong. Kalau tak bela anjing alamat tak merasalah makan buah-buahan dan hasil tanaman.

Dua ekor anjing pemberian Jai’e itu kini berusia tiga tahun dan sangat setia menjaga laman rumah saya daripada ancaman binatang-binatang liar. Saya juga ada memelihara lebih 30 ekor kucing dan sereban ayam tetapi saya akui saya bukan seperti Jai’e.

Saya memang sayangkan haiwan peliharaan saya. Saya sugul apabila kucing saya lari atau mati. Saya berdukacita bila saya ada kerja berhari-hari di Kuala Lumpur sebab akan terkenangkan ‘mereka’.

Meskipun makan minum mereka telah saya uruskan dengan orang lain sepanjang ketiadaan saya tetapi hati saya tetap tidak sedap. Macam mak ayah kita dulu-dulu bila bercuti ke rumah anaknya di kota akan mulalah heboh hendak balik sebab memikirkan ayam itik. Saya pun sedang melalui itu. Kerana sayang dan rasa bertanggungjawab.

“Itu hari seminggu Kupang tak balik. Menangis abang Jai’e kau,” kata isterinya, Ju. Kupang adalah nama anjing peliharaan Jai’e. Jelaslah betapa sayangnya dia kepada binatang peliharaannya. Saya boleh menghayatinya kerana saya pun ada membela.

Tetapi sesayang-sayang saya tidaklah mampu menjadi Jai’e yang berasa bertanggungjawab untuk memberi haiwan di jalanan makan setiap hari. Siapakah yang melantik Jai’e dan orang-orang seperti dia untuk berbakti begitu? Siapakah yang menjentik hati mereka untuk berbuat kerja ini secara sukarela? Setiap hari pula. Bukannya ada gaji malah kena keluar duit sendiri lagi!

Di mana-mana sahaja di dalam dunia ini sama ada di Kuala Lumpur atau di Lubok China, di Tokyo mahupun di San Francisco wujud manusia-manusia begini yang mempunyai rasa empati terhadap haiwan jalanan.

Apakah ini yang dikatakan bahawa manusia ini khalifah di atas muka bumi; memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bumi ini dan penghuninya terpelihara? Ada manusia mencintai alam sekitar, ada yang menyayangi haiwan lalu mereka bergerak sama ada sendirian ataupun menubuhkan persatuan untuk menjaga kebajikan haiwan dan alam sekitar.

Mengenangkan itu hati saya terubat dan persoalan saya terjawab. Ternyata Allah Maha Bijaksana dan Dia menjalankan semua ini dengan penuh keajaiban yang tidak terjangkau dek akal kita memikirkannya.

Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan orang-orang macam Jai’e. Bagi mereka, memberi makan kepada kucing atau anjing jalanan seolah-olah menggalakkan lagi pembiakan mereka sehingga jika terlalu banyak jumlahnya akan mengganggu pula keselamatan orang awam.

Ya, ada pro dan ada kontra. Begitulah kehidupan. Ketika di sebelah sini ada manusia berdoa agar tuhan turunkan hujan supaya tanamannya yang layu dek kemarau kembali segar, di sebelah sana pula ada juga manusia berdoa agar janganlah hujan turun kerana mereka sedang berjualan untuk mencari rezeki buat menanggung anak-isteri.

Doa siapakah yang Tuhan hendak dengar? Kehendak siapakah yang lebih diutamakan? Maka itu kepada Tuhanlah diserahkan segalanya kerana Dialah yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui akan sesuatu. Justeru, orang-orang seperti Jai’e ini juga adalah salah satu kurniaan Tuhan di atas bumi ini, berbakti dengan cara mereka, ikhlas tanpa ada tujuan serong di hati.

Bagi saya, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa mereka ini semua adalah utusan Tuhan yang telah diberi peranan untuk menjalankan urusan tersebut. Itu bahagian mereka, sangat senang pada mereka untuk membuatnya sedang ia tak terbawa dek kita. Wallahua’lam bissawab! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.