`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 23, 2024

Daya saing kita

 

Mohsin Abdullah

Berdesup! Dengan pantas Muhyiddin Yassin menekan Anwar Ibrahim mengakui ‘negara tidak berada di landasan ekonomi yang betul’ sebaik diberitakan ranking Malaysia turun ke tangga ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024. IMD ialah International Institute for Management yang berpangkalan di Switzerland.

Turunnya ranking berkenaan kata Muhyiddin satu tamparan hebat kepada PMX. Ranking Malaysia pada waktu pandemik, menurut beliau, lebih baik daripada sekarang iaitu tangga ke-27 pada 2020 dan tangga ke-25 pada 2021. Maksudnya masa beliau menjadi perdana menteri. Itulah mesej Muhyiddin.

Beliau memang cekap beri komen seperti ini. Lihat soal penyasaran subsidi diesel. Dengan pantas ‘Muhyiddin ambil kesempatan’ bak tajuk artikel kolumnis FMT, Hishamuddin Aun, pada 20 Jun lalu. Izinkan saya memetik satu perenggan daripada artikel itu:

“Kalau (Anwar Ibrahim) letak jawatan tak apalah besok saya naik. Mana tau rezeki saya,” kata Muhyiddin Yassin yang mahu perdana menteri bertanggungjawab kerana keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada harga RM3.35 sen seliter bermula 10 Jun didakwanya hanya menyusahkan rakyat.”

Kalaulah Muhyiddin bertindak sepantas ini dalam membuat ulasan isu semasa menjadi perdana menteri dahulu instead of holding one way ‘press conferences’ tentu ramai yang akan merindui zaman pentadbirannya. Mungkin Muhyiddin masih jadi PM sekarang.

Tak kisahlah! Realitinya sekarang dalam ranking IMD kedudukan Malaysia jatuh ke tempat ke-34 berbanding tangga 27 tahun sebelumnya. Buat kali pertamanya Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding Thailand (25) dan Indonesia (27) dalam indeks berkenaan. Malaysia menduduki kedudukan lebih tinggi daripada Filipina yang berada di tangga ke-52. Ini merupakan laporan komprehensif dan rujukan mengenai daya saing negara di seluruh dunia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ditanya media akan perkara ini. “Pada realitinya tahun ini kita telah saksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi terutama dari sektor semikonduktor, pusat data dan bidang kecerdasan buatan,” jawab beliau seperti dilapor Malaysiakini.

Namun beliau menyerahkan kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz, menteri pelaburan, perdagangan dan industri untuk penjelasan lebih sempurna. Semasa artikel ini ditulis belum ada penjelasan daripada Zafrul.

Menurut laporan Dagang News yang disiar Astro Awani, tinjauan dijalankan antara Mac dan Mei tahun ini dalam kalangan 6,612 pengurus peringkat C dan pertengahan daripada 67 ekonomi. Pada peringkat makro, Malaysia menduduki tempat tinggi dari segi harga (kedua), prasarana asas (10), dan dasar cukai (11).

Bagaimanapun Malaysia kurang berdaya saing dalam bidang pendidikan (44), perundangan perniagaan (50), dan produktiviti serta kecekapan. Kata IMD, cabaran utama Malaysia adalah meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

Juga pada pendapat IMD, Malaysia perlu mengoptimumkan pasaran buruh bagi memaksimumkan produktiviti tenaga kerja dan mengemaskini dasar serta peraturan untuk meningkatkan daya saing global.

Bekas menteri, Zaid Ibrahim, memberi reaksi menarik melalui platform media sosial X. Beliau membuka catatan dengan berkata markah rendah negara berhubung ranking daya saing dunia “tidak memeranjatkan. Syukur kepada Tuhan ranking tidak di kedudukan lebih rendah.”

Zaid menjuruskan masalah daya saing Malaysia kepada orang Melayu. Mungkin kerana orang Melayu majoriti di Malaysia? Apa pun kata Zaid tiga faktor are in play.

Pertama, kata beliau, orang Melayu secara relatif tidak competitive berbanding orang lain kerana mereka adalah ‘istimewa’. Apabila sesuatu kelompok atau kumpulan menerima layanan istimewa dalam mendapat pekerjaan, pendidikan, dan peluang ekonomi, tidak ada sebab untuk mendorong kelompok berkenaan menjadi kuat daya saing. Saya setuju kerana orang yang dimanjakan, diberi layanan istimewa tidak perlu bersaing kerana tidak ada saingan, puas hati, dan mendapat segalanya yang diidamkan dengan mudah.

Faktor kedua, kata Zaid, di Malaysia orang Melayu mengikut undang-undang negara ialah umat Islam. Tidak seperti orang Muslim di Singapura, Indonesia, Iran atau Turki, Muslim di Malaysia cenderung menjadi orang yang kurang bersaing dan memberi tumpuan kepada aktiviti keagamaan. Lalu menurut Zaid, mereka mahu lebih banyak kelas agama berbanding kelas sains dan matematik.

“Pada waktu santai mereka mahu belajar mengenai agama, lantas percambahan guru agama, program televisyen dan buku untuk menyenangkan mereka di akhirat kelak.”

Saya mungkin setuju dengan pendapat Zaid berhubung faktor kedua ini jika mendengarnya pada zaman dahulu. Semasa kecil pada pada 1960-an, saya dengar bapa dan kawan-kawannya bercakap mengenai ada kumpulan orang Melayu yang percaya dunia ini untuk orang bukan Islam manakala akhirat untuk umat Islam. Maka susah dan miskin di dunia tidak mengapa kerana akan mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Bapa saya dan kawan-kawannya mendapat sokongan beberapa orang kuat agama waktu itu bertekad membebaskan kumpulan Melayu daripada kepercayaan demikian.

Sekarang orang Melayu majoriti tidak berpegang kepercayaan begitu. Namun tidak dinafikan ada orang Melayu yang memberi penekanan pada agama, kadangkala sehingga tahap taksub. Tetapi ramai juga yang mahu diri mereka dan anak-anak berjaya dunia dan akhirat. Lalu anak anak dihantar belajar sains, matematik, dan lain-lain subjek akademik dan juga pendidikan agama. Ada yang berjaya dan ada yang mendapati sukar untuk mengimbangi pelajaran duniawi dan pengajian agama.

Akhir sekali kata Zaid ialah budaya politik yang ‘sangat curam’ ke arah feudalisme. Menurut beliau tidak ada keinginan untuk berubah dan tidak memupuk pemimpin baharu. Satu elemen yang kekal, kata beliau, ialah peraturan tidak ada pertandingan (saya tambah: dalam parti politik bersabit pemilihan jawatan tertinggi).

“Pemimpin kekal buat selamanya. Bagaimana budaya begini boleh menggalakkan daya saing dalam setiap aspek kehidupan?” tanya beliau. Seperti dikatakan tadi menarik pandangan dan persoalan yang diutarakan.

Saya tanya Zaid mengapa beliau menjurus pandangan kepada orang Melayu sahaja dan tidak pada masyarakat bukan Melayu jika bercakap mengenai daya saing Malaysia?

Jawab beliau, “Pada pandangan saya orang bukan Melayu hidup dalam dunia berbeza. Mereka pergi sekolah sendiri atau sekolah swasta. Nilai mereka lain. Mereka tidak ada keistimewaan. Lantas mereka berbeza. Mereka lebih terdedah kepada elemen daya saing.”

Seperti pendapatnya yang disebut awal tadi ini pun menarik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.