`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 20, 2024

Diesel: Muhyiddin ambil kesempatan

 

hishamuddin-aun

“Kalau (Anwar Ibrahim) letak jawatan, tak apalah besok saya naik. Mana tau rezeki saya,” kata Muhyiddin Yassin yang mahu perdana menteri bertanggungjawab kerana keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada harga RM3.35 sen seliter bermula 10 Jun didakwanya hanya menyusahkan rakyat.

Mungkin kata-kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada majlis penyerahan 22 ekor lembu korban untuk Parlimen Pagoh di Bukit Kepong, Muar hujung minggu lalu nadanya berseloroh tapi ia juga terselit hasrat sebenar agar rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan perpaduan yang terbentuk selepas PRU15 pada 19 Nov 2022.

Menyusuli kenyataan “Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat” di Facebook pada 10 Jun, Muhyiddin — perdana menteri kelapan (1 Mac 2020-16 Ogos 2021) — mengulangi di majlis itu: “Sekarang ni bila perdana menteri keluar TV, ada banyak orang beritahu sayalah, kami tak nak dengar… tutup TV. Pasal apa? Khabar kita yang tak baik. Benda yang susah pada rakyat dia buat.

“Kebimbangan kita kalau hal ni berterusan untuk tempoh beberapa bulan ke hadapan, maka rakyat akan terus menghadapi kesulitan yang besar. Pendapatan kita tidak meningkat setara dengan kenaikan harga barang. Kerana melihat keadaan negara ini menjadi agak lebih cacamarba, kacau-bilau, tak reti menguruskan negara, rakyat dah susah ni… macam dia tak tau rakyat susah. Orang kata jangan buat, dia buat juga.

“Kalau dia dengar rakyat sumpah dia, marah dia, dia perdana menteri apa dia patut buat? Kalau letak jawatan, tak apalah besok saya naik. Mana dia tau rezeki saya tuan-tuan. Maknanya kalau dia dengar begitu, besok dia buat satu kenyataan: ‘Saya buat keputusan untuk menarik balik kenaikan harga minyak (diesel) yang saya umumkan seminggu yang lepas. Kan sedap dengar tu.'”

Kalau diperhalusi, kenyataan presiden Bersatu itu berbeza dengan pendirian PAS — parti lebih besar dalam gabungan PN — berkaitan isu yang sama. Pada 9 Jun, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata parti itu mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel itu namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.

Lantaran itu, tambahnya, keputusan kerajaan itu memerlukan pemantauan mengenai keberkesanan secara dekat dan semua langkah perlu hendaklah diambil segera sekiranya terdapat tanda-tanda perjalanannya terseleweng atau tidak menepati sasaran.

“PAS berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, dan kumpulan berpendapatan rendah akan diliputi sepenuhnya bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses. Ini termasuk peranan proaktif agensi terbabit memastikan mereka dikesan dan dibantu sewajarnya. Kerenah atau ketidakcekapan birokrasi misalnya tidak harus menjadi penghalang dalam hal ini,” katanya.

Ini mendorong Anwar berterima kasih kepada PAS yang disifatkannya sebagai memahami keperluan untuk penyasaran subsidi diesel. Meski diakuinya ia tidak sempurna kerana masih terdapat beberapa kelemahan, namun perdana menteri memberi jaminan ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Beliau juga sudah memberi arahan supaya memantau mana-mana pihak yang menjadikan isu penyasaran subsidi diesel ketika ini untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, termasuk mengenakan hukuman berat seperti lesen dibatalkan.

“Saya (rasa) aneh kalau digunakan (isu subsidi) sebagai isu politik kerana semua parti politik setuju, dan saya ucap terima kasih kerana setiausaha agung PAS sudah keluarkan kenyataan yang maknanya dia faham. Kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga diesel tetapi kita dalam kerajaan Madani ini naikkan tapi tidak membabitkan rakyat,” katanya.

Seperkara menarik yang harus diperhatikan ialah kenyataan Anwar bahawa semua perdana menteri dari berbilang parti politik yang mendahului beliau — Muhyiddin tidak terkecuali — bersetuju bahawa penyasaran subsidi mesti dibuat bagi mengelakkan ketirisan yang banyak kepada kewangan negara termasuk kepada golongan maha kaya dan 3.8 juta orang asing yang tidak bayar cukai.

Tidak hairanlah sudah ada yang mengatakan Muhyiddin cakap tak serupa bikin. Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat pada 11 Jun lalu menyorot bagaimana Muhyiddin ketika memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 2022 mencadangkan Skim Subsidi Bersasar sebagai langkah kerajaan untuk menjimatkan RM20 bilion setahun.

Apa kata Muhyiddin ketika itu? Hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja yang berhak menerima subsidi, tidak seperti sekarang di mana semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama.

Sambil membidas Muhyiddin yang sepatutnya faham kerajaan tidak menghapuskan subsidi sepenuhnya sebaliknya mengagihkannya dengan cara yang lebih tepat, Wei Kiat turut membuat perbandingan cadangan pengerusi MPN itu dua tahun lalu hanya berkait penyasaran semula subsidi tetapi tidak menyentuh langsung mengenai bantuan tunai yang perlu diberikan kepada rakyat. Ini berlawanan dengan hujahnya hujung minggu lalu bahawa kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56% berbanding sebelumnya amat tinggi dan tindakan itu seolah-olah tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.

Apa pun, Muhyiddin harus dimaafkan jika beliau dilihat mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga diesel dan kesannya ketika ini. Tambahan, ini selepas pengumuman Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 8 Jun lalu yang memutuskan Muhyiddin kekal sebagai presiden menuju ke pemilihan parti pada Oktober ini. Sebagai calon perdana menteri PN daripada Bersatu — melainkan ia dibantah Pas yang mungkin menuntut kepimpinan daripada parti itu — Muhyiddin harus bersiap-sedia dari sekarang dan memanfaatkan apa saja kesempatan seperti kata-katanya mana tau ada rezeki beliau.

Namun, perlu diingatkan bahawa subsidi diesel bersasar amat penting untuk negara bagi menyelamatkan dana yang bocor dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti diulangi Anwar kelmarin. Kenaikan harga tambang pengangkutan yang dikenakan agensi pelancongan dan bas penumpang Singapura serta beberapa siri penangkapan sindiket penyelewengan diesel di sempadan negara membuktikan penyasaran subsidi bahan api itu wajar diteruskan.

“Semua bas pelancong dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga kerana katanya tidak dapat subsidi diesel. Maknanya selama ini berpuluh tahun subsidi kita pergi ke syarikat Singapura, pergi ke kapal-kapal nelayan Siam. Bocor (dana) banyak. Subsidi dimanfaatkan oleh 3.8 juta orang asing, dibawa keluar ke Siam, dia bagi hantar kepada kapal nelayan Siam… yang bayar cukai rakyat Malaysia tetapi yang dapat manfaat orang asing,” katanya.

Perdana menteri yang tidak menafikan terdapat beberapa masalah berikutan langkah penyasaran subsidi diesel itu namun berjanji akan memperbaiki kelemahan berkenaan, juga mengakui bersikap terbuka menerima sebarang cadangan. “Kalau ada beberapa kelemahan, maklum, kita betulkan. Ini percubaan awal yang tentunya menghadapi sedikit-sebanyak masalah, saya tidak nafikan tetapi cerca seolah-olah kerajaan zalim, itu tidak boleh,” katanya.

Muhyiddin harus ambil maklum. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.