`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 20, 2024

Malaysia sasar pelaburan, eksport RM13 bilion di Osaka

 

zaf
Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia juga merancang untuk memanfaatkan jumlah pengunjung yang besar yang dijangkakan sebanyak 28.2 juta pelawat pada ekspo berkenaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin dapat meraih potensi pelaburan dan eksport bernilai RM13 bilion menerusi penyertaan di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata Malaysia merancang untuk memanfaatkan jumlah pengunjung yang besar yang dijangkakan sebanyak 28.2 juta pelawat.

Pada 2021, Malaysia mencatatkan perdagangan dan pelaburan bernilai RM8.3 bilion di Ekspo Dunia Dubai, menarik 5,000 pemimpin perniagaan ke pavilionnya yang mengetengahkan 400 syarikat Malaysia, katanya.

“Miti berbangga dan bertuah untuk menerajui penyertaan Malaysia di ekspo itu.

“Ini memberi peluang unik kepada Malaysia untuk mempamerkan komitmen kita yang tidak berbelah bahagi kepada pembangunan mampan, reformasi perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif di samping memupuk masyarakat yang makmur,” katanya semasa melancarkan penyertaan Malaysia bagi ekspo itu di sini, pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata Malaysia memilih tema ‘Weaving a Future in Harmony’ untuk mencerminkan komitmen negara terhadap kerjasama, perpaduan dalam kepelbagaian dan kesalinghubungan masyarakat.

Pavilion Malaysia akan mengetengahkan kemajuan dalam pertanian mampan, peralihan tenaga, kehidupan pintar, pembuatan canggih, pengurusan alam sekitar dan pelancongan hijau, katanya.

“Kita mahu menunjukkan cara Malaysia menangani cabaran global secara inovatif untuk menyumbang kepada kesejahteraan bumi ini dan memupuk masa depan yang mampan, harmoni dan saksama untuk semua,” katanya.

Semasa ekspo dari 13 April hingga 13 Oktober, 2025 itu, satu siri minggu bertema di tapak, pameran dan dialog akan dianjurkan di pavilion Malaysia untuk menjadi pemangkin kepada perubahan positif.

“Kita berusaha untuk menempa perkongsian ke arah dunia yang lebih mampan dan saksama, disokong oleh dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Rangka Kerja Industri ESG Nasional,” katanya.

Sebanyak 161 negara dan sembilan pertubuhan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.