`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 3, 2024

Oops tunggu dulu, FAM

 

hishamuddin-aun

Akhir bulan lalu, terpampang satu tajuk berita ‘Episod hitam FAM temui noktah’ manakala satu lagi tertulis ‘FAM lega SPRM isytihar bersih’. Lebih dahulu pada 19 Mei, satu lagi tajuk berita berbunyi ‘Dakwaan rasuah, salah laku babit FAM disahkan NFA’.

Agak menghairankan juga berita sepenting itu — khususnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membersihkan imejnya — dihebahkan tanpa banyak keriuhan dan suasana keraian (dalam bahasa Inggeris disebut pomp and pageantry) dibandingkan dengan amalan badan induk bola sepak itu pada masa lalu.

Selain itu, musykil juga ia tidak mendapat liputan meluas di media utama dibandingkan ketika surat layang yang mengandungi pelbagai dakwaan terhadap FAM ditularkan pada akhir Mac lalu yang boleh dibaca di mana-mana. Kita harus tanya juga kenapa Presiden Hamidin Mohd Amin tidak adakan sidang media besar-besaran kali ini.

Dalam kesibukan pembaca yang lazimnya hanya tertumpu kepada tajuk tanpa membaca teks berita penuhnya, tajuk-tajuk seperti dinyatakan di atas boleh menimbulkan kekeliruan dan memberi gambaran tidak lengkap.

Sebagai bekas editor, penggunaan bahasa kontot atau ringkas untuk sesuatu tajuk berita difahami satu keperluan untuk disesuaikan dengan ruang terbatas. Tajuk lazimnya sekadar memberi bayangan untuk menarik tumpuan pembaca tapi tidak semestinya menghuraikan keseluruhan isi cerita. Sesetengah akhbar atau portal berita juga biasa menyertakan tajuk kecil di bawah sesuatu tajuk besar untuk memberi sedikit pencerahan tapi itu juga tidak memberi keseluruhan cerita melainkan teksnya dibaca dari pangkal hingga ke hujung.

Sebelum ada yang membuat tanggapan tak sepatutnya, rasanya elok dimaklumkan tulisan ini bukan bertujuan untuk menyanggah kenyataan FAM, sebaliknya sekadar untuk memberi perspektif yang betul demi mengelakkan kekeliruan dan salah kefahaman. Malah, tidak juga bertujuan untuk mengatakan FAM bersalah sedangkan siasatan menunjukkan sebaliknya.

Elok diingatkan semula apakah isu-isunya.

Antara perkara utama dalam surat layang itu ialah dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman, penipuan, salah guna kuasa, menyalahgunakan wang, ketidakadilan gaji dan manfaat untuk staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya, penyalahgunaan dana bagi penganjuran Kongres FAM pada 1 Apr dan kurang ketelusan dalam proses tender projek pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang dianggar bernilai RM25 juta.

“Perkara ini (isu surat layang) memang membebankan kita kerana tiada apa yang boleh kita buat sepanjang tempoh hampir dua bulan itu. Keputusan (SPRM) itu melegakan kita apabila dimaklumkan kes telah diklasifikasi sebagai NFA (tiada tindakan lanjut),” Azman dipetik berkata di bawah tajuk ‘FAM lega SPRM isytihar bersih’ itu pada 30 Mei.

Perlu dijelaskan bahawa apa yang telah diklasifikasi SPRM sebagai NFA itu hanya membabitkan dakwaan penyalahgunaan dana penganjuran Kongres FAM dan tender projek NTC dan tidak mencakupi dakwaan selebihnya kerana ia bukan bawah bidang kuasa suruhanjaya itu, sebaliknya tertakluk kepada siasatan polis.

Azman dalam pada percaya badan induk bola sepak negara itu sudah boleh ‘tutup buku hitam’ susulan siasatan SPRM terhadap dakwaan dalam surat layang itu tidak harus menyimpulkan bahawa ia bermaksud kepada semua dakwaan sekali gus. Ini selari dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini bahawa pihaknya hanya memfokuskan kepada isu kesalahan di bawah Akta SPRM dan bukan lain-lain dakwaan.

Sebagai rujukan, Hamidin pada sidang media selepas Kongres FAM Ke-60 di Subang Jaya pada 1 Apr memecahkan surat layang itu kepada empat tuduhan terhadap dirinya sendiri, 15 tuduhan ke atas Azman, masing-masing satu tuduhan ke atas kedua-dua timbalan presiden Yusof Mahadi dan S Sivasundaram, manakala lapan lagi tuduhan rambang. Maknanya ada 21 tuduhan kesemuanya.

Melahirkan rasa sedih kerana tuduhan berkenaan dibuat pada 10 hari terakhir Ramadan, Hamidin yang menjawab sebanyak mungkin tuduhan dibangkitkan menganggapnya fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM. Itu terserah kepada siasatan pihak berkuasa memutuskannya dan bukan untuk FAM tentukan.

Tepat seperti dikatakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Aseh Che Mat, siasatan SPRM mengklasifikasikan dua tuduhan sebagai NFA tetapi pihaknya masih menunggu laporan akhir daripada polis berhubung isu surat layang yang dijangka siap dalam masa terdekat.

“Bagi siasatan polis pula, pihak kami serahkan kepada PDRM untuk selesaikan siasatan mereka dan kita harap isu ini dapat ditamatkan dengan segera,” katanya dalam sidang akbar di Wisma FAM pada 29 Mei.

Tidak hairanlah jika ada mengandaikan siasatan SPRM itu sebagai ‘Pen Drive 2.0’. Ia bukan niat mempertikaikan badan anti-rasuah itu yang harus diyakini sudah melakukan siasatan menyeluruh, cuma secara kebetulan ia menyerupai kesudahan kepada isu ‘pen drive’ membabitkan tuduhan rasuah terhadap FAM lapan tahun lalu.

Isu itu ditimbulkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 18 Jul 2016 dengan mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan sehingga 30 tahun dalam FAM. Mendakwa mempunyai butiran lanjut, Tunku Ismail menunjukkan satu ‘pen drive’ didakwa daripada sahabat-sahabatnya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur, yang dikatakan mengandungi antaranya maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang media yang FAM selalu gunakan, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP (Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan diberikan kepada FAM, serta laporan audit yang merepek.

Menerima ‘pen drive’ itu daripada Tunku Ismail, Khairy Jamaluddin yang ketika itu menteri belia dan sukan menyerahkannya kepada SPRM pada 2 September 2016. Ia terkandung dokumen setebal 279 muka surat yang didakwa bukti rasuah FAM. Namun, penghujung ceritanya pada 5 Sep 2016, SPRM mengumumkan tiada unsur rasuah dalam isi kandungan ‘pen drive’ yang dikatakan mengandungi butiran salah urus FAM seperti didakwa Tunku Ismail. SPRM juga akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM bagi proses penambahbaikan dan tindakan khususnya isu teknikal yang dibangkitkan.

“SPRM mengesahkan sudah selesai meneliti isi kandungan pen drive yang didakwa mengandungi butiran rasuah dan salah urus FAM. Didapati ia tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009,” kata Azam yang ketika itu pengarah siasatan SPRM.

Lebih daripada sekadar surat layang atau tuduhan rambang dari semasa ke semasa, FAM yang bukan hanya perlu bersih malah hendaklah dilihat bersih dalam urus tadbirnya mempunyai pertanggungjawaban lebih besar yang diukur daripada kejayaan pasukan kebangsaan di bawah pengawasannya.

Kedua-dua skuad senior dan skuad bawah 23 tahun negara gagal melepasi pusingan pertama dalam Kejohanan Piala Asia, masing-masing di Qatar pada 12 Jan-10 Feb dan 15 Apr-3 Mei lalu. Seterusnya skuad senior akan menghabiskan jadual pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan berkunjung ke Kyrgystan pada 6 Jun dan melayani kedatangan Taiwan lima hari kemudian dalam menentukan ia maju atau mundur.

Mungkin sesudah itu, ia akan lebih adil untuk peminat bola sepak amnya menghakimi sama ada barisan kepimpinan FAM sudah melaksanakan tugas dengan berkesan atau masih banyak yang diharapkan daripada mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.