`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 18, 2024

Peniaga jual gas memasak lebih harga kawalan kena tindakan

 

Free Malaysia Today
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Azman Adam berkata peniaga berkenaan dikenakan notis untuk mengemukakan maklum balas harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan notis terhadap seorang peniaga yang tular di media sosial kerana menjual tong gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan di Puchong, Selangor.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Azman Adam memaklumkan notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 memerlukan peniaga itu mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari bekerja.

Katanya, dalam rakaman video berdurasi lebih seminit itu peniaga berkenaan memberikan alasan pelarasan subsidi diesel menjadi punca kenaikan harga LPG itu.

“Hasil siasatan awal ke atas video itu, pihak KPDN berjaya mengenal pasti alamat premis dan lokasi lori yang membuat penghantaran LPG berkenaan iaitu di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya melakukan siasatan, bermula sekitar 4 petang dengan bertindak melakukan uji beli ke atas tong gas yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata hasil uji beli yang dilakukan mendapati LPG berkapasiti 14kg dijual RM34 setong berbanding harga kawalan ditetapkan kerajaan iaitu RM26.60.

Beliau berkata peniaga terbabit memberikan alasan menjual melebihi harga kawalan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan bermula 10 Jun lepas.

Katanya, KPDN menyita LPG terbabit selain beberapa dokumen perniagaan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu tong gas berkenaan melebihi harga kawalan.

Sementara itu, Azman berkata KPDN melaksanakan Ops Kesan 2.0 untuk menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dipatuhi sepenuhnya.

“Berdasarkan statistik Ops Kesan 2.0 bermula 20 Mei hingga 17 Jun lepas sebanyak 993 premis di seluruh negara telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 akta sama dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara,” katanya.

Azman turut memberikan amaran bahawa mana-mana pihak didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan bakal dikenakan tindakan tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.