
Jika berlaku isu hangat berkenaan figura politik yang menjurus ke arah gosip dan hal remeh-temeh, saya tidak layan. Apatah lagi hal kepartian sebab saya non-partisan. Saya berundur daripada politik kepartian pun (pernah menjadi ketua AMK dan ahli majlis) sebab tidak mahu disibukkan dengan hal perang dalaman. Sebenarnya perang merebut jawatan dalaman lebih hebat berbanding nak berperang dalam pilihan raya. Jatuh-menjatuh dan londeh-melondeh demi sebuah kedudukan, bukanlah saya punya permainan. Lalu, saya tinggalkan dan duduk di luar sahaja. Saya bersara daripada menjadi tahi politik yang 24 jam seminggu cerita saya tak ada lain – politik, politik dan politik sahaja!
Menjadi tahi politik sama seperti menjadi tahi judi, kaki botol atau hantu ketum. Ia memang menggiankan. Tak boleh kalau sehari tak kena. Tak boleh kalau sehari tak ada gosip. ‘Anak presiden ada kekasih barulah’, ‘presiden tepuk bahu akulah semalam, syoknya!’. Pendek kata dua jam di kedai kopi, dua jamlah berkisah politik. Selalunya tahi politik ini perasan yang dunia merekalah paling penting kerana dunia politiklah yang menentukan hala tuju negara. Sesiapa yang tak cakna politik dianggap bodoh dan tak berwawasan. Duduk di kedai kopi mahal tetapi bersyarah tentang kemiskinan dan kesusahan rakyat. Tentang demokrasi dan kesamarataan.
Kemudian, mereka perasan pula parti merekalah yang paling baik ideologinya untuk membela rakyat dan mengangkat negara menjadi maju. Dari sinilah wujudnya pentaasub yang sanggup berhabis-habisan berhujah dalam mempertahankan partinya.
Sesetengah daripada tahi politik ini akan melihat semua isu yang berlaku hari ini tak ada sebab lain melainkan semuanya berkait rapat dengan politik kepartian. Dan bagi mereka, rakyat terbahagi kepada dua golongan sahaja iaitu kem prokerajaan dan kem pembangkang. Si tahi politik akan menyalahkan lawannya dalam apa juga isu.
Dalam isu ‘Abang Belon’ yang tak habis-habis sejak Ramadan hinggalah seminggu Syawal ini, ia sudah jadi isu politik. Tahi politik yang prokerajaan mempertahankan tindakan penguat kuasa yang mengasari ‘Abang Belon’ kerana ‘Abang Belon’ tidak mematuhi undang-undang, melawan pegawai penjawat awam menjalankan tugas sehinggalah hari ini ‘Abang Belon’ dibongkarkan pernah ada kes lampau. Saya melihat ada kawan saya buat video di TikTok menjelaskan kesalahan ‘Abang Belon’ seperti dinyatakan di atas tadi walhal kawan saya ini dahulunya pada zaman reformasi kerap berlawan dengan anggota keselamatan, merempuh halangan dan melakukan vandalisme. Ha! Ha! Ha! Saya ketawa kerana kami sama-sama pernah buat. Tetapi hari ini kerana yang jadi kerajaan adalah partinya maka sudah berpusinglah pandangannya. Akan ada sajalah teorinya untuk menyatakan apa yang dibuatnya dahulu itu betul dan hari ini apa yang dibuat pihak lawan salah.
Manakala, tahi politik yang propembangkang pula sudah tentulah akan meletakkan apa juga kesalahan sebagai kegagalan kerajaan hari ini. Isu Abang Belon pun mereka tunggang! Punyalah terdesak. Apatah lagi isu beras tempatan, isu telur ayam dan yang terkini isu letupan paip gas.
Bukan tiada pendapat dan pandangan kedua belah pihak itu bernas tetapi yang ramainya hanyalah maki-hamun dan ejek-mengejek. Saling tak tumpah dengan kumpulan pengikut ideologi agama antara Wahabi, Salafi dan Aswaja yang bertekak siapa sesat. Dunia mereka hanya itu. Celik mata sahaja pagi-pagi, mesti berjuang melawan puak yang satu lagi. Maki, maki, maki!
Yang susah ialah orang macam saya. Kita ada pandangan kita sendiri dalam sesuatu isu dan apabila kita kemukakan, kita harus berdepan dengan tahi-tahi politik ini. Jika selari pandangan kita dengan mereka, okeylah tetapi pihak yang satu lagi akan cop kitalah! Macam saya kata, di Malaysia hari ini hanya ada dua golongan sahaja. Tak walaun, walanon. Silap-silap kalau mereka bengang dengan kita, habis rekod lampau kita dikorek. Tiba-tiba kita pun ada berbelas kes jenayah.
Sebagai Ronasina yang melukis perangai manusia yang acap kali menghampakan, saya mengajak tahi-tahi politik ini agar bertenang sedikit dan berfikiran rasional. Parti politik yang anda sertai itu akhirnya akan berkhidmat kepada rakyat juga jadi janganlah berperang dengan rakyat. Ini akan lebih merosakkan imej parti anda. Ya, jika parti anda hari ini menjadi kerajaan, anda juga harus berfikir menjadi kerajaan yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk rakyat. Pembangkang memanglah akan menangguk apa sahaja isu untuk melihatkan betapa gagalnya kerajaan.
Seharusnya anda lebih bijak daripada mereka. Berikan bantuan dan cadangan penyelesaian bukan turut sama masuk ke dalam kancah ejek-mengejek. Nampak sangatlah kamu pun sama tak cerdik. Tahi-tahi politik harus tahu membezakan yang mana satu kumpulan politik lawan dan yang mana satu pula pihak non-partisan yang mempunyai pandangan berbeza. Kalau itu pun tak selesai dan asal tak selari dengan kamu sahaja kamu kira mereka itu daripada parti lawan, tak ke manalah pembaharuan yang sering kita laung-laungkan itu untuk tercapai. Kita tidak akan berjaya naik ke puncak gunung dengan memekak-mekak di bawah tanpa ada langkah untuk mendakinya. Fahamkan ini wahai tahi-tahi politik! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.