`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, May 16, 2025

Siapa tembak MH17 dan apa langkah Malaysia?

 Pada 5 Sept 2019 perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad kata tiada bukti mencukupi untuk kait Rusia dengan serangan ke atas MH17.

Mohsin Abdullah

Semasa Anwar Ibrahim melawat Istana Kremlin di Moscow beberapa hari lalu Vladimir Putin menunjukkan Dewan St Andrew yang luas dalam istana itu. Di dewan itu ada tiga takhta yang dimaksudkan untuk ‘tsar’ iaitu maharaja Russia zaman lampau, ‘tsarina’ isteri si maharaja manakala kerusi ketiga tidak dilabel.

Lalu Putin tanya Anwar kerusi ketiga itu untuk siapa? Jawab Anwar, “untuk isteri kedua”. Kedua pemimpin burst into laughter. Semua yang hadir turut ketawa berderai. Putin terus berseloroh “itulah jawapan seorang Muslim sejati mewakili budaya Islam”.

Sambil tersenyum Anwar menjelaskan beliau hanya ada seorang isteri dan berkata, “saya rasa itu helah cubaan menguji. Saya kata takhta kanan untuk isteri, kiri untuk isteri kedua. Tetapi kemudian saya sedar ia sebenarnya untuk ibu.”

Kata Putin, “Ya takhta ketiga adalah untuk ibunya. Pertukaran maklumat selalu berguna.”

Menarik kisah itu. Malah lucu tetapi benar. But let’s not read too much into it and take it as a light story. Bagi saya ia menunjukkan keakraban presiden Rusia dengan perdana menteri Malaysia.

Lawatan Anwar ke Rusia sememangnya mengenai perdagangan, pelaburan dan kolaborasi. Malaysia dan Rusia sama sama mahu mendalami perdagangan dan pelaburan antara kedua negara bagi mencetus a new chapter in their growing bilateral relationship. Putin menyifatkan Malaysia sebagai rakan lama yang boleh dipercayai dan penting bagi Rusia.

Bagaimanapun pada hari Anwar tiba di Moscow, majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014, yang mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Timing is everything.

Pengumuman keputusan majlis agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu boleh dilihat sebagai janggal bagi Anwar kerana beliau pergi ke Rusia untuk jalin kerjasama lebih erat. Atau boleh juga dilihat sebagai peluang keemasan untuk membawa keputusan berkenaan secara terus kepada Rusia. Lebih tepat Putin.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” kata Anwar kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi ke Rusia.

Lapor Bernama, Anwar berkata Putin mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahir rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kata perdana menteri lagi Putin menegaskan beliau telah menuntut supaya siasatan rapi serta menyeluruh dijalankan dan juga mahu isu tersebut tidak dipolitikkan.

Menurut Putin sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan harus bebas dan teliti selain menegaskan Rusia sedia memberi kerjasama untuk memastikan laporan tersebut lebih berwibawa.

Pendapat yang sama pernah disuarakan beliau sebelum ini. Apa makna kata-kata itu? Bolehkah disimpulkan Rusia tidak menerima keputusan majlis badan PBB? Ertinya Rusia tidak mengaku terbabit atau bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17. Bagi saya begitu maksud kenyataan Putin.

Imbau kembali November 2022, mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang warga Ukraine secara in absentia atas kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu. Moscow menyifatkan keputusan itu ‘memalukan’ dan menegaskan Rusia tidak akan mengekstradisi rakyatnya.

Belanda dan Australia yang warganya antara yang terbunuh menyambut baik keputusan terbaharu ICAO, badan penerbangan PBB pada 13 Mei lalu. Kata menteri luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan itu menghantar mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.

Penny Wong menteri luar Australia pula berkata negaranya seru Rusia mengaku tanggungjawab terhadap keganasan dahsyat itu dan menunaikan kewajipan membuat pampasan seperti dituntut di bawah undang undang antarabangsa.

Kerajaan Belanda dan Australia dalam kenyataan berasingan memaklumkan ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan beberapa minggu akan datang.

Perlu dinyatakan ICAO tidak punya kuasa penguatkuasaan undang-undang tetapi ia dilihat sebagai memiliki pengaruh moral di samping menetapkan piawaian penerbangan yang diterima secara meluas oleh 193 negara anggota.

Sebenarnya sebelum ini pun beberapa pihak sudah menyalahkan Rusia. Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran puak pemisah pro Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak. Beberapa negara menuduh Rusia sokong puak pemisah dan membekalkan peluru berpandu kepada mereka.

Pasukan Penyiasat Bersama atau JIT diketuai Belanda mendakwa pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK milik tentera Rusia. Dakwaan dinafikan Rusia.

Pada 5 September 2019 perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan Rusia dengan serangan ke atas MH17. Beliau mempersoalkan dapatan JIT dan menganggapnya ‘tidak begitu tepat’. Mahathir juga dipetik berkata beberapa dapatan JIT tidak menyakinkan beliau dan rakyat Malaysia.

“Saya tidak mempersoalkan kejujuran mereka (JIT) tetapi ada beberapa perkara yang mereka dakwa sukar untuk kita terima. Mengenal pasti peluru berpandu, ya. Lokasi kejadian, itu boleh disahkan. Tetapi untuk kenal pasti siapa yang benar-benar melepaskan tembakan, itu amat sukar dalam keadaan biasa,” kata beliau kepada agensi berita Rusia, Sputnik. Kesimpulannya Malaysia kata Mahathir mahu bukti kukuh.

Itu pendapat perdana menteri ke-7. Bagaimana pula perdana menteri ke-10? Adakah PMX bersependapat?

Apa yang Anwar kata kepada Putin apabila mendengar ‘penjelasan’ pemimpin Rusia itu? Bernama yang melaporkan pertemuan Anwar-Putin seperti di atas tidak menjawab persoalan ini selain memetik Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa maklum balas yang diberikan Putin.

Adakah Malaysia menerima penjelasan Putin atau menerima apa yang didapati badan penerbangan PBB? Itu yang mesti putuskan sekarang. Hanya apabila keputusan sudah dibuat barulah kita akan tahu apa langkah negara seterusnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.