Presiden Warisan Shafie Apdal dalam satu majlis suarakan keyakinan mampu selesai masalah air Sabah dalam tempoh setahun.

Hajiji, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam catatan di Facebook, berkata senarai infrastruktur itu dimaklumkan bagi menjawab dakwaan seorang pemimpin pembangkang – ‘boleh selesaikan isu air dalam masa setahun’.
“Saya fikir mungkin yang dimaksudkan adalah antara penyelesaian yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan GRS selama ini,” katanya dalam catatan itu.
Beliau berkata, enam infrastruktur air dijangka siap tahun depan melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II Papar; Empangan Cinta Mata Tawau; dan Sistem Bekalan Air Luar Bandar Pitas.
Selain itu, naik taraf sistem lima tangki simpanan Sandakan; Sistem Bekalan Air Luar Bandar Lahad Datu; dan Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Semporna, yang semuanya dijangka siap pada 2026.
“Ada yang petik nama saya setiap hari kenapa lambat siap, tapi kami tiada kayu sakti buat hari ini esok terus siap,” katanya.
Hajiji memaklumkan, daripada 10 infrastruktur berkenaan, LRA Telibong II Fasa II sudah siap, manakala projek muka sauk LRA Limbahau dijadual siap 2027 dengan LRA Banggi diunjur selesai antara 2028-2029.
Antara projek selesai tahun ini melibatkan Projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) LRA Kasigui, LRA Ulu Mamut Ranau, dan naik taraf LRA Kasigui.
Terdahulu, Presiden Warisan Shafie Apdal dalam rakaman ucapannya pada satu majlis, menzahirkan keyakinan menyelesaikan masalah air Sabah dalam tempoh setahun.
“Masalah air di Sabah saya akan selesaikan. Dalam jangka masa satu tahun saya akan selesaikan masalah ini. Bukan satu hari, bukan satu bulan.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.