`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, October 10, 2025

Pengusaha vape gesa kerajaan tetap cukai munasabah

Mereka bimbang kenaikan cukai 10 kali ganda iaitu kepada RM4 per mililiter nikotin galak pasaran gelap serta gagalkan usaha berhenti merokok.

vaping vape
Kementerian Kesihatan cadang cukai vape kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml) nikotin berbanding daripada 40 sen kini.
PETALING JAYA:
 Pengusaha industri vape menggesa kerajaan mengenakan cukai yang lebih munasabah, bukannya 10 kali ganda seperti dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) Ridhwan Rosli berkata kadar terlalu tinggi boleh menyebabkan pengguna nikotin kembali kepada rokok konvensional yang lebih memudaratkan.

Beliau merujuk kajian Yale University dan Georgia State University yang menunjukkan cukai vape berlebihan mendorong pengguna muda kembali kepada rokok biasa.

Menurutnya, walaupun DPVM menyokong cukai pro-kesihatan serta penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, kadar yang dikenakan mesti realistik dan tidak membebankan.

“Jika cukai dinaikkan kepada RM4 per ml, harga sebotol 15 ml boleh mencecah RM60 hanya untuk cukai – belum termasuk harga jualan. Ini bukan lagi insentif untuk berhenti merokok,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Selasa lalu yang kerajaan bercadang menaikkan cukai vape kepada RM4 per mililiter nikotin berbanding 40 sen ketika ini.

Ridhwan turut memberi amaran kadar tidak munasabah akan menggalakkan permintaan terhadap produk seludup yang lebih murah dan tidak dikawal dari segi kualiti.

Katanya, kadar maksimum munasabah ialah RM0.80 per ml, memandangkan terdapat cukai tambahan 10% ke atas peranti vape.

“Kerajaan perlu menilai kesan langsung terhadap pengusaha Bumiputera berskala kecil yang mungkin terjejas teruk jika harga pasaran meningkat mendadak,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan Akta Kawalan Produk Merokok menjadi instrumen penting menyelaras industri secara beretika, namun pelaksanaan mesti konsisten di semua negeri.

“Perlindungan remaja mesti diutamakan. Larangan iklan, pameran terbuka dan pengesahan umur semasa jual beli perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Vape hanya untuk orang dewasa yang mahu berhenti merokok,” katanya.

Presiden Persatuan Entiti Vape Malaysia (MOVE) Samsul Kamal Ariffin pula menyifatkan cukai terlalu tinggi sebagai tidak adil kepada pengguna yang berusaha berhenti merokok.

“Rokok terbukti 95% lebih berbahaya daripada vape, tetapi cukai rokok lebih rendah. Ini bercanggah dengan logik kesihatan awam,” katanya sambil menambah kenaikan harga berlebihan boleh mendorong pengguna kembali merokok.

Beliau juga menjangka permintaan terhadap produk pasaran gelap akan meningkat sekiranya cukai terlalu tinggi, sekali gus merugikan pengguna, pengusaha sah dan kerajaan dari segi hasil cukai.

MOVE, katanya, turut menentang penggunaan vape dalam kalangan bawah umur dan mencadangkan kempen advokasi besar-besaran di sekolah dengan kerjasama KKM serta Kementerian Pendidikan.

“Masalah utama kini ialah penyalahgunaan vape oleh remaja. Kami sedia menjadi penggerak kempen pendidikan ini kerana industri tidak mahu produk ini disalah guna,” tegasnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.