`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, October 10, 2025

WCE Seksyen 3: Harapan tertangguh penduduk Kampung Jawa

Infrastruktur fizikal hanya akan bermakna apabila ia bawa kesejahteraan sebenar kepada manusia dan itu sepatutnya jadi matlamat akhir setiap projek pembangunan.

Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepatutnya menjadi nadi baharu yang menghubungkan Selangor dengan negeri di pantai barat. Tapi bagi penduduk Kampung Jawa, jajaran Seksyen 3 yang masih belum siap kini menjadi simbol kelewatan dan harapan tergantung.

Projek dijangka melancarkan perjalanan dari Banting ke Klang dan terus ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) itu masih tersekat di bahagian terakhir, disebabkan pertikaian tanah dan kelewatan kerja lapangan. Akibatnya, ribuan pengguna jalan raya setiap hari masih bergantung kepada jalan lama yang sesak, manakala komuniti sekitar terus menanggung beban bunyi, pencemaran dan kesesakan berpanjangan.

Kita masih terperangkap dalam kesesakan sama

Bagi ramai penduduk, jalan baharu itu bukan sekadar laluan konkrit, ia peluang untuk mengubah kehidupan. Apabila siap, WCE Seksyen 3 akan menjadi penghubung terus ke lebuh raya utama, memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan trafik berat yang kini membanjiri kawasan perumahan di Kampung Jawa, Sri Andalas dan Jalan Langat.

Kesan langsungnya cukup besar: kenderaan berat akan dialihkan ke lebuh raya, keselamatan jalan tempatan meningkat, dan kualiti hidup kembali stabil. Peniaga kecil dan pengusaha tempatan turut boleh menjangkakan lonjakan pelanggan apabila aliran trafik meningkat di kawasan persimpangan dan hentian baharu.

Peluang ekonomi jika jajaran siap

Berdasarkan pola pembangunan lebuh raya di Malaysia, kawasan berhampiran persimpangan utama lazimnya berkembang menjadi ‘nod ekonomi’ baharu. Ia mungkin bukan bandar baharu berskala besar, tetapi pusat aktiviti komuniti, seperti stesen minyak, kedai makan, bengkel, dan gudang mini, yang memberi pekerjaan kepada penduduk setempat.

Dengan pelaksanaan yang betul, WCE boleh menjadi pemangkin regenerasi bandar di Klang. Kawasan lama boleh dihidupkan semula dengan pembangunan berskala manusia, bukan sekadar projek mega yang meminggirkan komuniti asal.

Namun, semua ini bergantung kepada dua perkara asas:

1. Selesainya isu pengambilan tanah secara adil dan telus, dan
2. Perancangan guna tanah yang jelas, supaya pertumbuhan ekonomi tidak berlaku secara tidak terkawal atau menekan penduduk sedia ada.

Jangan biar lebuh raya ini jadi laluan tanpa hati

WCE sepatutnya menjadi jalan yang menghubungkan masyarakat, bukan sekadar lebuh raya untuk kenderaan laju. Jika Seksyen 3 dapat disiapkan segera, penduduk Kampung Jawa bukan sahaja mendapat manfaat daripada kelancaran trafik, tetapi juga peluang ekonomi dan sosial lebih luas.

Sebaliknya, jika kelewatan terus berlarutan, mereka akan kekal sebagai penonton kepada pembangunan yang sepatutnya menjadi milik bersama.

Infrastruktur fizikal hanya akan bermakna apabila ia membawa kesejahteraan sebenar kepada manusia, dan itu sepatutnya menjadi matlamat akhir setiap projek pembangunan. - FMT

Mohd Zairul Mohd Noor adalah pakar bidang pembangunan komuniti dan reka bentuk mampan dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM Serdang.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.