`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, November 22, 2025

‘Bespoke’ di mana sahaja: Alfian bawa kehalusan seni sut kepada anda

Sut ditempah khas umpama autobiografi yang menceritakan keperibadian si pemakai, kata Hafeez Alfian Rahmat dari Alfian & The Suits.

Hafeez Alfian Rahmat
Hafeez Alfian Rahmat berkecimpung dalam industri fesyen selama 11 tahun.
PETALING JAYA:
 Sut ditempah khas bukan sekadar pakaian, ia umpama autobiografi yang menceritakan keperibadian si pemakai, gubahan si tukang jahit yang mengambil masa berminggu-minggu untuk disiapkan menerusi kerjasama intim.

Pereka sut, Hafeez Alfian Rahmat, memerikan ciri-ciri pelanggannya melalui proses menterjemahkan dimensi fizikal dan postur tubuh menjadi corak yang akan memandu penciptaan — olahan yang amat teknikal serta khusus buat pemakai.

“Lain orang lain bentuk tubuh. Bila pakai bukan setakat selesa tapi terletak kemas, baru bayang (silhouette) nampak penuh,” kata Alfian, yang pada usia 31 tahun terpamer komitmen pada seni rekaan sut.

Selepas wabak Covid-19 memusnahkan butik yang didirikan dengan penat lelah, Alfian membuat keputusan untuk mengikut jejak tukang-tukang jahit berkelana dan langsung bertemu pelanggan di lapangan.


Sambil mengheret bagasi yang sarat dengan alat-alat pertukangan, pereka solo ini membawa jenamanya, Alfian & The Suits, ke mana sahaja pelanggan berada. “Tak kisah tempatnya, yang penting pelanggan selesa,” katanya.

Bersama pelanggan, Alfian secara teliti menyusun fail mereka, merangkumi pilihan reka bentuk, fabrik, lapis dan butang, dan paling penting data tubuh pelanggan.

Hafeez Alfian Rahmat
Masa dan keselesaan pelanggan perkara utama dalam khidmat Hafeez Alfian Rahmat.

“Pelanggan boleh minta apa sahaja mengikut cita rasa — bagaimana rekaan sut yang mereka mahu, potongannya, dan apa perincian yang ingin ditambah,” katanya, namun secara peribadi, Alfian menggemari gaya ‘American Preppy’ yang kasual namun masih segak.

Alfian juga akan memberi nasihat pakar kepada pelanggan yang inginkan sut sesuai dengan iklim dan perbelanjaan. Dengan harga sut bermula daripada RM1,880 hingga RM25,000, apa yang Alfian ingin sekali ialah semua orang mampu memiliki sut bermutu.

“Sejujurnya, ramai di Malaysia memakai sut dengan cara yang kurang tepat, terutamanya daripada segi potongan dan panjang kot yang tidak seimbang dengan bentuk badan,” katanya.

“Saya akan menasihatkan pelanggan ketika sesi tempahan tentang gaya yang sesuai agar tidak membazir masa dan wang memandangkan harganya juga agak tinggi jadi perlu pastikan ia berbaloi.”

Data ini kemudian di bawa ke bengkel di mana Alfian menghasilkan corak-corak unik berdasarkan ciri-ciri khusus si pelanggan.

Hafeez Alfian Rahmat
Hafeez Alfian Rahmat di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada 2019.

Melepasi beberapa lagi peringkat, Aflian akan bertemu pelanggan untuk ‘baste fitting’ atau penentusahan dan perbaikan, dan kemudian untuk ‘forward fitting’ — di mana sut mengambil bentuk yang diingini.

“Bahagian depan sut saja ambil masa sekurang-kurangnya 48 jam untuk disiapkan manakala keseluruhan sut pula memerlukan sehingga tiga minggu,” katanya.

Menceritakan tentang dirinya, anak jati Johor ini berkata minatnya pada sut berputik pada usia seawal 15 tahun, terpesona melihat gaya segak ahli-ahli muzik ska dari England.

Alfian merantau ke Kuala Lumpur dan menuntut ilmu di SML Fashion Academy sejurus tamat persekolahan.

Sejak serius dalam bidang rekaan sut pada 2015, jenama Alfian pernah dipamerkan di acara-acara fesyen dalam dan luar negara, serta diperagakan selebriti.

Namun, bagi Alfian, saat paling memuaskan ketika pelanggan menyarung sut yang siap sepenuhnya. Selepas berminggu-minggu mengolah dan menjahit, sut Alfian kembali kepada pemilik bukan lagi sebagai sehelai pakaian tetapi refleksi kesempurnaan diri mereka.

“Pada saat itu, mereka akan rasa perbezaannya. Ia bukan sahaja kemas terletak, ia bergerak bersama mereka. Ia pelaburan jangka panjang, sehelai warisan yang meningkatkan keyakinan diri pada hari ia dipakai dan melangkaui zaman,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.