Mesyuarat tumpu kajian semula nilai pemberian khas Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan.

Kerajaan persekutuan dan Sabah dalam kenyataan bersama memberitahu, mesyuarat pertama jawatankuasa peringkat pegawai diadakan hari ini.
Mesyuarat menumpukan kajian semula nilai pemberian khas Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan, berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada 17 Okt.
Wakil kedua-dua pihak menegaskan komitmen melaksanakan perbincangan secara progresif dengan semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman, termasuk perkongsian data serta maklumat kewangan yang diperlukan.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perbincangan ini menandakan permulaan yang berkesan dan konstruktif, dengan kesepakatan bersama bahawa kajian semula pemberian khas Sabah berdasarkan formula 40% hasil bersih persekutuan di Sabah,” menurut kenyataan.
Mesyuarat dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong bagi pihak kerajaan Sabah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mewakili kerajaan persekutuan.
Turut hadir Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh, Pengarah Belanjawan Negara Ab Rahim Ab Rahman, Ketua Bahagian Penyelidikan Jabatan Peguam Negara Marzaitul Azura Mokhtar, serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Saiful Sungkih Abdullah.
Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih persekutuan di negeri itu hampir empat dekad.
Mahkamah mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan, berhubung tuntutan pemberian khas 40% hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.