Mohd Azizi Othman mengaku bersalah perdaya seorang lelaki dan wanita percayai tertuduh boleh dapatkan khidmat guaman pada 2021.

Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan tertuduh Mohd Azizi Othman, 46, dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mohd Azizi dituduh menipu seorang wanita dan lelaki dengan cara memperdayakan mereka untuk mempercayai tertuduh boleh mendapatkan khidmat guaman bagi permohonan pengesahan anak, dengan menyerahkan wang tunai RM3,000 kepada tertuduh, namun dia tidak berbuat demikian.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Kangar pada 17 Mac 2021.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan wang berjumlah RM2,800 daripada jumlah keseluruhan RM3,000 yang dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilucutkan hak kepada kerajaan melalui suruhanjaya tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Zuhair Ahmad Zakuan.
Berdasarkan fakta kes, lelaki dan wanita itu merupakan pasangan suami isteri yang berkahwin pada 23 Okt 2020 dan ketika itu, wanita berkenaan telah mengandung lima bulan.
Pada 17 Mac 2021, pasangan suami isteri itu bertemu Mohd Azizi dan dia menyerahkan Borang MS3, iaitu Permohonan Pengesahan Sabitan Nasab, serta dokumen lampiran, selain meminta mereka menandatangani dokumen itu dan meminta bayaran RM3,000.
Tertuduh mengarahkan wanita itu mendaftarkan kes di kaunter dan wanita itu membayar pendaftaran kes sebanyak RM45 dengan tarikh sebutan kes pada 5 April 2021.
Pasangan suami isteri itu kemudiannya meminta resit bayaran RM3,000 itu daripada tertuduh, namun dia memberitahu akan menyerahkan pada 5 April 2021.
Wanita dan lelaki itu tetap menginginkan resit itu pada hari sama, kemudian tertuduh menunjukkan satu resit berjumlah RM3,000 atas nama lain.
Selain itu, tertuduh juga mengaku resit berkenaan adalah palsu dan kes pasangan suami isteri itu sebenarnya tidak memerlukan penglibatan peguam kerana mereka sendiri perlu mewakili kes mereka sehingga wanita dan lelaki itu berasa ditipu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.