`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, December 12, 2025

Hormati suara Bersatu Sabah, Saifuddin beritahu pimpinan pusat

Saifuddin Abdullah berkata pimpinan pusat seharusnya lebih empati bukan menyalahkan pimpinan Bersatu Sabah susulan kekalahan PRN, bulan lalu.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata Bersatu perlu menghargai calon parti itu yang telah berusaha keras pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
 Seorang pemimpin Bersatu mengingatkan pimpinan pusat supaya lebih berempati terhadap calon dan kepimpinan di Sabah susulan keputusan, PRN bulan lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Saifuddin Abdullah apabila majoriti calon dan pimpinan Bersatu Sabah tampil membuat kenyataan selepas PRN, reaksi pertama dari Semenanjung sepatutnya bukanlah kemarahan atau kecaman.

“Dengari dan selami lubuk hati mereka. Bukannya angkuh menuding jari, menyalahkan serta menyuruh mereka keluar dan bubar Bersatu Sabah.

“Sebagai parti punya roh, kita patut berbangga dengan mereka. Majoritinya bertanding sebagai novis (orang baharu) dan berbuat sedaya upaya.

“Ada terpaksa bergadai, berhutang dan menjual keretanya. Tetapi tetap menjaga nama baik parti semasa PRN,” katanya dalam tulisan ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan di Sinar Harian.

PRN Sabah ke-17 berlangsung 29 Nov lalu menyaksikan semua 33 calon Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) tewas termasuk Naib Presiden Ronald Kiandee di DUN Sugut.

Setiausaha Bersatu Sabah Yunos Nordin pada 3 Dis lalu menggesa Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan presiden Bersatu dan pengerusi PN berikutan kekalahan teruk itu.

Beliau menyifatkan keputusan PRN sebagai ‘memalukan’ dan ‘tamparan hebat’ kepada jentera, calon, dan akar umbi.

Sehari kemudiannya lapan ketua Bersatu di Sabah menepis kenyataan Yunos itu dan menegaskan tanggungjawab penuh itu sebenarnya perlu ditanggung Kiandee dan Pengarah Pilihan Raya PN Hamzah Zainudin.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata analisis dan tindakan politik berkaitan Sabah perlu bermula dengan memahami konteks tempatan serta menghormati pandangan pemimpin negeri yang lebih dekat dengan realiti politik setempat.

Menurutnya, Hamzah yang juga timbalan presiden Bersatu telah mengadakan pertemuan dengan calon dari parti itu di Kota Kinabalu pada 8 Dis lalu.

“Beliau tekun mendengar laporan dan pandangan mereka,” katanya sambil menggariskan usaha keras Hamzah menjelang PRN termasuk berulang alik ke Sabah sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, Hamzah juga membantu Kiandee menghidupkan bahagian Bersatu di negeri itu selepas penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Mulai Januari lalu, Hamzah membantu program Jelajah Rakyat 2025. Bagi PRN Sabah, Hamzah membantu sebelum PRN dan sepanjang PRN, kecuali pada 18 Nove kerana menghadiri perjumpaan Ahli Parlimen Bersatu dengan Muhyiddin.

“Maksud turun dan membantu di sini ialah menolong dari setiap segi, bukannya ala kadar sahaja,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.