`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, December 24, 2025

Idea muafakat PN-BN-PKR tak realistik, risiko krisis berulang

Penganalisis menyifatkan cadangan Shahidan Kassim sebagai eksperimen berbahaya ketika negara perlukan kestabilan.

Shahidan Kassim
Cadangan Shahidan Kassim tentang muafakat baharu melibatkan PN, BN dan PKR dikritik penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Cadangan pemimpin PAS, Shahidan Kassim supaya Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PKR membentuk kerajaan campuran disifatkan tidak realistik, malah berisiko mengheret negara ke kancah ketidakstabilan politik.

Penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting, berkata idea itu menyerupai eksperimen politik berbanding strategi matang, dikhuatiri boleh mengulangi episod pasca PRU14 apabila negara menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh lima tahun.

“PN cuba menjual gabungan mimpi, tetapi realitinya mereka sedang menagih oksigen politik. BN pula masih mencari arah selepas gelombang biru semakin malap, manakala PKR pula hampir mustahil meninggalkan DAP,” katanya kepada FMT.

Menurut Zaharuddin, cadangan berkenaan bukan penyelesaian kepada kemelut politik semasa. “Gabungan ini bukan jalan keluar, tetapi pintu masuk kepada ketidakstabilan politik yang baharu.”

Shahidan mencadangkan PN yang memiliki 74 kerusi Parlimen, bersama BN dan PKR yang masing-masing mempunyai sekitar 30 kerusi, membentuk suatu muafakat politik baharu.

Cadangan itu muncul susulan ketegangan antara Umno dan DAP selepas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, memuat naik hantaran yang disifatkan pemimpin Umno sebagai ‘kurang ajar’ berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk menjalani tahanan rumah.

Bekas menteri DAP itu menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai antara ‘perkara yang wajar diraikan hujung tahun’, kenyataan yang mencetuskan kemarahan pemimpin Umno.

Mengulas kedudukan BN dalam kerajaan perpaduan, Zaharuddin berkata cadangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, supaya BN keluar kerajaan dan menjadi pembangkang lebih berisiko kepada gabungan itu sendiri.

“BN sedang berusaha membina semula imej selepas siri kekalahan. Jika keluar kerajaan, BN boleh dilihat sebagai parti oportunis yang menambah ketidakstabilan ketika rakyat memerlukan kepastian ekonomi,” katanya.

Kedudukan PKR

Dalam pada itu, Zaharuddin menjelaskan PKR hampir mustahil meninggalkan DAP kerana hubungan kedua-dua parti itu bukan sekadar taktikal, sebaliknya menjadi asas sokongan pengundi bandar, progresif, dan antarabangsa.

“Menggugurkan DAP bermakna PKR memusnahkan kredibiliti sendiri. Sebab itu cadangan PN-BN-PKR lebih kepada fantasi politik,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata cadangan Shahidan menarik namun mencetuskan suatu persoalan besar mengenai jawatan perdana menteri.

“Dengan jumlah kerusi PKR yang kecil, Anwar Ibrahim tidak mungkin menjadi perdana menteri kecuali PN bersedia mengangkat beliau. Ini sukar berlaku,” katanya.

Mazlan memberi amaran bahawa sebarang perpecahan besar, termasuk kemungkinan BN atau DAP menarik diri daripada kerajaan, hanya membuka ruang kepada kerajaan yang lemah dan tidak stabil.

Dengan penggal pentadbiran semasa berbaki dua tahun sahaja lagi, Mazlan tidak melihat penarikan diri akan berlaku walaupun terdapat risiko ketidakstabilan.

Ini kerana, beliau mengingatkan, bahawa isu berpunca daripada kenyataan kontroversi seorang ahli politik DAP, dan bukannya melibatkan dasar kerajaan.

“Anwar, Zahid Hamidi (presiden Umno) dan Loke Siew Fook (setiausaha agung DAP) saya yakin sedar risiko jika konflik ini berlarutan. Kerajaan masih berbaki sekitar dua tahun dan terlalu banyak agenda besar yang perlu diberi keutamaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.