Seorang ditahan di kaunter pemeriksaan keluar KLIA selepas dikesan guna pasport India milik individu lain.

Ketua Pengarah Zakaria Shaaban berkata lelaki itu ditahan di kaunter pemeriksaan keluar selepas dikesan menggunakan pasport India milik individu lain bagi tujuan keluar dari Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek sebenarnya merupakan warga Malaysia dan dipercayai menggunakan pasport India yang disyaki telah dipalsukan identiti pada muka surat biodata pasport atau menggunakan pasport milik individu lain,” menurut kenyataan.
Zakaria berkata penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan seorang wanita warganegara India di sebuah kediaman di Jalan Kuching, yang disyaki tinggal lebih masa di negara ini.
Semasa serbuan, wanita tersebut cuba melarikan diri bersama MyKad milik suspek lelaki, namun berjaya dihalang.
“Pasukan operasi telah menyita dua naskhah pasport India, sekeping pas naik pesawat dan telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Lelaki warga tempatan itu disiasat bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport, manakala wanita warga India disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen serta Peraturan 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara.
Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi individu warga Malaysia diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan.
Operasi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS). - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.