Keputusan PRN Sabah kini sudah pasti menjadi bahan kajian oleh parti besar untuk dibedah siasat sebelum melangkah ke PRU akan datang.

Saya tidak ketinggalan pergi ke Kota Kinabalu tempoh hari sebagai pemerhati bebas PRN Sabah. Bebas, dalam erti kata – mencari bahan tulisan tanpa cenderung ke arah mana-mana parti politik. Saya sekadar datang untuk mengutip pengalaman dan pemerhatian sejernih mungkin di peringkat marhaen untuk dijadikan bahan catatan.
Sepuluh hari di sana dengan cuaca hujan hampir setiap hari, sedikit-sebanyak membataskan pergerakan untuk saya keluar meninjau suasana pilihan raya. Sementara di Semenanjung saya melihat berita ada tempat sudah tenggelam dek banjir, di Kota Kinabalu mujurlah tidak.
Saya melepak di kedai kopi, merayau di pasar, naik ‘Grab’, untuk mengorek maklumat tetapi ‘urang Sabah’ nampaknya lebih tenang menempuh pilihan raya. Kalau di Semenanjung, kita sudah nampak puluhan mat rempit membingitkan jalan raya dengan bendera parti kalaupun tidak lori-lori di lebuh raya bergerak dengan bendera berkibar di atasnya. Program ceramah tak usah cakaplah, meriah di sana-sini. Di sini, di bandar Kota Kinabalu terutamanya, tenang. Aktiviti kehidupan berjalan macam biasa.
“Memang begini, bang. Kalau di Semenanjung itu partinya hanya BN, PH dan PN saja tapi kecohnya amat sangat. Di sini parti lokal saja pun sudah banyak tapi isu-isunya bukan isu kaum dan agama. Sini, keluarga saya sendiri pun bercampur-campur kaum dan agama. Takde masalah,” kata abang pemandu Grab.
“Saya GRS, abang saya Warisan. Kakak saya lain. Tapi itu tidak menjadi isu,” katanya lagi.
Saya menarik nafas. Ah! Di semenanjung pun sama juga. Ada yang tak ada masalah. Seorang abang Grab ini bukanlah mewakili keseluruhan orang di sini, fikir saya. Pasti di sini pun ada yang macam kita di Semenanjung, keluarga tak bertegur sapa disebabkan berbeza fahaman politik. Agaknyalah, kot!
“Bang! Beli bang. Beli.” Tiba-tiba saya disapa oleh dua orang kanak-kanak perempuan antara 7 atau 10 tahun. Mereka masing-masing memegang bungkusan ‘jajan’ atau ‘junk food’ dan menyua kepada saya agar membelinya. Saya menolak dengan baik. Ini suasana biasa di sini. Bukan kanak-kanak sahaja tetapi orang dewasa pun ada yang akan datang meminta duit. Saya tak tahu siapa mereka dan apa latar belakang mereka. Ada yang saya lihat tidur di kaki lima jalan. Mungkin gelandangan atau mungkin penduduk di sekitar situ. Saya tak tahu anak-anak ini bersekolah atau tidak.
“Abang nak buat kerja dulu. Jangan kacau abang. Kamu tunggu di sana nanti abang akan ke sana,” kata saya sambil menunjuk ke arah tepi jalan. Dua kanak-kanak perempuan ini berlari tinggalkan saya.
Pemandu Grab pertama yang saya naiki ketika perjalanan dari ‘airport’ ke hotel bila ditanya bagaimana sentimen ‘Sabah for Sabahan’, dia jawab itu semua sekadar slogan saja. Lima tahun sekali baru nampak muka. Saya ketawa. Selepas mengundi parti yang saya suka lima tahun lepas, akhirnya mereka lompat juga, katanya.
“Yang penting, kita sendiri kena kerja, bah!” jawabnya. Hmmm! Ini jawapan ‘standard’ – di Semenanjung pun ada.
“Tak boleh juga macam tu, Awie. Kita kena peduli juga bab politik,” kata seorang kakak di kedai kopi ketika saya mengulang kata-kata abang Grab itu beberapa hari kemudiannya. Dan, ya! Saya kerap dipanggil ‘Awie’ oleh kenalan di sana. Apa nak buat, rambut panjang dengan janggut dan jambang memang nampak gaya Awielah. Tapi, pandangan kakak tadi menunjukkan bahawa rakyat harus cakna politik demi masa depan bersama. Itu yang saya dapat.
“Abang janji mau jumpa saya di sini. Kalau abang bohong, Allah marah,” tiba-tiba dua kanak-kanak perempuan tadi muncul semula. Tubuh saya menggeletar lemah. Rupanya mereka memegang janji saya. Saya memberi masing-masing seringgit tanpa mengambil jualan mereka.
“Nah! Jangan beritahu kawan-kawan lain. Kamu berdua saja,” kata saya. Mereka berdua kemudian berlari gembira.
Saya masuk ke sebuah kedai kopi di sebelah hotel tempat saya menginap. Ini tempat lepak kegemaran saya kerana hampir setiap hari pasti saya temui susuk-susuk yang saya kenal dari Semenanjung turut sama mengopi. Ada wartawan, ada orang parti – tak kira PH, BN, GRS atau Warisan. Masing-masing memberikan pandangan berdasarkan dapatan mereka. Ada dapatan yang mereka bentangkan saya sifatkan sebagai ‘biased’ atau proparti mereka sendiri. Namun, hari-hari terakhir berkempen saya sudah nampak sedikit gambaran yang sebenar. Bukan delusi atau ilusi. Bukan syok sendiri atau perasan, tetapi ‘real politic’.
Dua malam terakhir kempen, saya ke ceramah PH di tapak parkir Stadium Likas. “Mati kita, Rona! Mati!” kata kawan saya selepas bersalam dan berpelukan sebab lama tak jumpa. “Diorang tak layan kita,” katanya lagi. Kawan saya ini orang kuat DAP yang bertugas sebagai pembantu khas seorang menteri.
“Kau tengok diorang ni,” kata kawan saya sambil mengisyaratkan agar melihat ribuan rakyat yang sedang duduk di kerusi. Saya pun melihat dari celah-celah air hujan yang meleleh dari bumbung khemah. Ketika itu Anwar sedang berceramah di pentas. “Nampak? Diorang tak tumpu perhatian pun. Diorang duduk saja dan ambil makanan.”
Betul, akui saya. Dan kawan saya ini terus meluahkan kerisauannya kepada saya. Saya berasa hairan. Takkanlah kawan saya ni beria sangat sehingga mengeluarkan perkataan ‘mati’? Paranoid sungguh. Tapi, bos dia duduk di portfolio yang ada kaitan perihal data dan maklumat. Mesti sumber dia boleh dipercayai. Ah! Tak mungkin. Saya tak percaya DAP akan bungkus.
“Betul, bang!” kata seorang Wanita pusat PKR yang saya kenal sejak dia masih bergelar ‘cik’ lagi. Wajahnya juga serius campur risau. Pada petang hari mengundi itu saya terserempak dengannya dan di situlah dia bercerita bagaimana peniaga-peniaga Cina yang mereka temui di sekitar bandar raya berkata,”itu DAP kami akan patah-patah dan bungkus hantar balik Malaya.”
Saya masih tak percaya. DAP setahu saya ‘smart’. Jarang DAP gagal habis. Lihat di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Semua kerusi yang mereka tandingi menang ‘solid’. Sebelum ke Sabah saya sudah tahu yang ramai orang Cina di sini telah berpaling ke Warisan. Tapi, takkanlah satu pun DAP tak boleh menang? Ini seorang lagi paranoid, bisik saya sendiri.
Saya terus mencari kesempatan bersembang dengan beberapa orang awam tetapi rata-rata orang Sabah gemar berahsia. Kalau setakat memberi pandangan neutral, itu biasa kita dengar di Semenanjung. Tetapi dalam berkata semacam itu pun di tempat kita, kita masih boleh baca parti mana yang mereka sokong. Di Sabah, saya gagal menebak. Mungkin, saya tak berapa kenal sungguh-sungguh cara orang Sabah agaknya. Atau, mungkin mereka melihat saya orang luar yang tak boleh mudah-mudah untuk diberitahu semuanya. Agaknyalah!
“Ya. Kita tak suka cakap tapi kita tahu siapa kita mahu undi, Awie,” kata mak cik yang berniaga barangan kraftangan. Masih berahsia meskipun kelihatan mesra memanggil saya dengan nama ‘itu’.
Hari ini setelah dua minggu berlalu, beberapa perkara yang saya catatkan di atas pun telah ditulis oleh pemerhati politik di portal online. Tentang hal-hal sambutan dan penolakan masyarakat Sabah terhadap parti dari ‘Malaya’ dan juga perselisihan sesama sendiri di peringkat dalaman – misalnya tentang orang parti dari Semenanjung yang datang ke Sabah berlagak macam ‘bos’ hendak mengajar orang Sabah di dalam parti mereka sendiri tentang apa yang perlu dibuat walhal mereka itu orang tempatan yang tentunya lebih memahami resam mereka sendiri. Ceramah keras-keras gaya Semenanjung pun tak sesuai di Sabah. Saya enggan menyentuh bab itu, anda boleh membuat carian tentang ulasannya oleh penganalisis politik.
Ternyata dua minggu adalah masa yang terlalu laju di dalam dunia politik. Dalam tempoh tersebut macam-macam dah berlaku. Berita sedihnya, Bung Moktar Radin yang baru saja menang, kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
Keputusan PRN Sabah kini sudah pasti menjadi bahan kajian oleh parti-parti besar untuk dibedah siasat sebelum melangkah ke PRU akan datang.
Ketika menikmati kerapu, jenahak dan sotong segar di Todak Waterfront, tepi laut Kota Kinabalu saya merenung – di saat rakyat terbanyak menjangkakan ‘begitu’ dan penyokong parti peringkat bawahan percaya akan jadi ‘begini’, atau ketika pemerhati dan penganalisis politik membentangkan teori tiga langkah ke depan; agaknya ‘mereka’ yang berada di peringkat paling atas sudah jauh berbatu-batu melangkah dengan segala strategi mereka, meninggalkan segala teori dan ramalan jauh di belakang. Kita hanya membaca jejak-jejak sahaja sedangkan mereka sudah tak ada di situ. Kedudukan mereka sudah lama mereka susun. Sekali lagi otak saya berkata, ‘agaknyalah!’
Dalam politik macam-macam boleh jadi. Yang bermusuh boleh bergabung semula membentuk kerajaan walaupun minggu lepas mereka mencaci-maki dan saling menelanjangkan antara satu sama lain. Rentetan dari PRN Sabah, atau selepas PRU16 nanti berkemungkinan DAP keluar jadi pembangkang semula. PAS tak mustahil bekerjasama dengan Madani. Ini semua boleh berlaku. Apa, anda fikir tak mungkin?
“Abang!” sapa kanak-kanak perempuan yang menjual jajan tempoh hari. Aduh! Dia lagi. Entah kenapa bila melihat kanak-kanak ini, hati saya jadi lemah. Kali ini dia seorang sahaja. Dia senyum dan menghampiri saya sambil mengunjukkan jajannya. Kelihatan dia sedikit mesra berbanding sebelum ini.
“Ahah!” saya tergelak kecil. Secara spontan saya mengusap ubun-ubunnya. Saya terbayangkan cucu saudara saya yang manja dengan saya. Kanak-kanak ini baya cucu saudara saya agaknya.
“Hari ini, abang tak mahu beli jajan kamu,” kata saya. “Abang mahu beli sama orang lain pula. Abang mesti adil biar semua kawan pun dapat.”
Dia mencemik tapi tidak marah. Barangkali dia faham maksud saya bahawa kawan-kawan dia yang lain juga mahu cari makan. Dia beredar patuh. Sekelip mata dia hilang di celah-celah manusia dan barisan kereta. Dia terus berlari dan meneruskan pencarian siapa yang akan membeli keropoknya hari itu. Saya terus memandang kelibatnya dengan rasa sayu.
Siapakah yang akan selesaikan masalah kanak-kanak itu dan kawan-kawannya? Adakah politikus yang menang bersungguh-sungguh membantu golongan seperti mereka atau hanya sekadar menabur janji; seperti saya tadi yang berkata kepada anak itu akan membeli kepada kawannya tetapi tidak saya lakukan? Sekali lagi, tubuh saya tiba-tiba menggeletar lemah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.