Ada polemik dalam kalangan Umno mengenai sama ada parti patut kekal atau tinggalkan kerajaan. Ini bukan perdebatan baharu.

Saya ada nampak hantaran di media sosial bertanya: “Bagus ke Umno keluar kerajaan Madani?” Banyak lagi sebenarnya hantaran senada itu. Ada yang tanya, “siapa untung kalau Umno-Barisan Nasional jadi pembangkang? Untuk selama-lamanya.
Saya kira yang bertanya itu seakan tidak yakin Umno boleh menang pilihan raya dan tubuh kerajaan sendiri lantas pembangkang selama-lamanya.
Saya percaya semua hantaran seperti itu dibuat orang Umno sendiri, ertinya ada polemik dalam kalangan Umno mengenai sama ada parti patut kekal atau tinggalkan kerajaan. Pelbagai sebab. Ini bukan perdebatan baharu, boleh dikatakan terjadi sejak lama.
Beberapa hari lalu saranan (desakan?) Umno mesti tinggalkan kerajaan tercetus lagi. Mengapa tercetus dan dicetus? Kerana mahkamah Isnin lalu tolak permohonan bekas presiden Umno, Najib Razak, untuk tahanan rumah. Lalu ada dalam Umno marah sekali gus seru parti hentikan kerjasama dengan kerajaan Madani kerana tidak dapat apa yang dihajati. Tak perlu ulang nama mereka. Bagi saya mereka acah-acah sahaja mahu Umno keluar kerajaan. Sebab mereka sendiri tahu Umno lebih banyak rugi daripada untung jika berada di luar. Lagi pun lama sebelum ini kepimpinan tertinggi parti ada menyatakan Umno-BN akan teruskan bekerjasama dengan PH sehingga PRU16.
Namun desakan Umno keluar kerajaan masih kedengaran, lalu mengundang reaksi di media sosial. Terbaharu tampil pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah 24 Disember lalu. Ku Li menasihatkan kepimpinan Umno nilai semula kedudukan dalam kerajaan. Apa definisi nilai semula? Terpulang interpretasi masing-masing. Saranan Ku Li susulan keputusan mahkamah mengenai titah adendum yang berkait Najib. Pada hemat saya, ada reaksi orang Umno di media sosial dituju kepada beliau.
Minggu lalu, long before the court decision on Najib’s house arrest bid, seorang kenalan yang ikuti perkembangan politik beritahu saya ada dalam kalangan Umno yang sudah ‘berkepak’. Katanya mereka sudah ‘smell blood‘ dan mahu Umno bergerak solo pada PRU16.
Kata saya, Umno tidak cukup atau memang tidak kuat to go solo, tetapi kata si kawan “pendekar Umno think they are“. Bagi saya paling wajar Umno tanya diri sendiri — adakah aku memang sudah kuat semula atau aku perasan kuat?
Umno tahu mereka sudah lama hilang sokongan orang Melayu, sebabnya mereka patut sudah tahu. Atau buat-buat tidak tahu? Lalu tanya saya adakah Umno sudah menelaah mengapa ia ditolak orang Melayu? Katalah ia sudah kaji sedalam-dalamnya, maka soalan susulan — sudah tahu apa yang mesti dilakukan untuk dapat semula sokongan Melayu? Sudah ada winning formula? Yang gerenti cun?
Bukan rahsia ada dalam kalangan Umno yang percaya dan yakin orang Melayu akan berbondong-bondong sokong parti mereka semula jika atau apabila Umno putuskan hubungan dengan DAP. Betul ke Umno putus kerjasama dengan DAP, orang Melayu sokong semula lantas jadi kuat perkasa dan boleh tubuh kerajaan on its own, begitu?
Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre berbeza pandangan. Kata beliau menerusi Facebook: “Bila pula Umno hilang sokongan orang Melayu kerana kerjasama dengan DAP? Sokongan orang Melayu terhadap Umno mula merosot sejak PRU12 pada tahun 2008. Terus merosot dalam PRU demi PRU sehinggalah PRU15 pada tahun 2022.”
Kata Yusri lagi: “sepanjang tempoh tersebut Umno langsung tidak bekerjasama dengan DAP bahkan berseteru secara hangat”. Izinkan saya tambah, segala macam tuduhan dilempar Umno ke atas DAP.
“Sebab itu dakwaan mengatakan orang Melayu tidak sokong Umno kerana bekerjasama dengan DAP pada saya kurang berasas,” kata Yusri. Kata saya, dakwaan itu merepek. Orang Melayu tidak sokong Umno ketika parti itu tidak atau belum pun jalani kerjasama dengan DAP, secara langsung atau menerusi Pakatan Harapan.
Bahkan menurut Yusri, dalam siri PRK selepas PRU15 iaitu selepas pembentukan kerajaan perpaduan, kerjasama dengan PH kelihatan lebih menguntungkan Umno.
“Ini kerana jelas berlaku ayunan pengundi teras PH (Melayu dan bukan Melayu) kepada Umno apabila Umno-BN bertanding. Walaupun dalam masa sama ayunan pengundi teras Umno kepada PH hanya berlaku secara terbatas jika calon PH bertanding,” kata beliau. Maksudnya, menurut saya, Umno lebih banyak menerima daripada memberi.
Saya rumuskan. Dapat sokongan Melayu jika putus hubungan dengan DAP pendapat meleset. Carilah formula benar untuk dapatkan sokongan Melayu dan bukan Melayu. Dalam pada itu duduk dalam kerajaan sambil perkukuh diri dan kerajaan.
Paling penting: jangan syok sendiri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.