
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan.
“SKMM telah mengadakan sesi perbincangan untuk membantu melaksanakan pelan tindakan Melaka Pintar 2035…ini menjadi panduan utama kepada transformasi digital negeri ke arah pembangunan lestari, berdaya huni dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Melaka dan SKMM dalam Pembangunan Infrastruktur Kesalinghubungan bagi Inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka.
MoU itu ditandatangani Pengerusi SKMM, Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Melaka, Azhar Arshad dengan disaksikan Fahmi serta Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Fahmi berkata, beberapa inisiatif utama akan dilaksana menerusi MoU itu termasuk pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik melalui Melaka Network Operation and Command Centre.
Turut akan dilaksana ialah pengurusan pelancongan warisan berasaskan teknologi pintar serta inisiatif pengurusan banjir menggunakan sistem amaran awal dan sensor teknologi internet kebendaan (IoT).
“Infrastruktur kesalinghubungan pintar menyediakan asas kukuh dalam pembangunan bandar pintar terutamanya dalam penyediaan rangkaian gentian optik, tiang pintar dan wi-fi awam bagi meningkatkan akses kepada capaian Internet di seluruh negeri Melaka.
“Usaha ini turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan,” katanya.
Semasa sidang media selepas itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melihat kerajaan Melaka mempunyai hala tuju dan berpandangan jauh terhadap usaha mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan.
“Asas kepada perkhidmatan digital ini semestinya infrastruktur digital itu sendiri…kalau hendak dibandingkan dengan beberapa inisiatif SKMM yang lain, (projek) kali ini merangkumi seluruh negeri (dan) bukan sekadar kawasan bandar supaya dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.
“Saya percaya kita akan dapat mulakan fasa pertama dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.