`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, December 10, 2025

Tiada lesen PBT punca penginapan tak daftar Motac, kata exco Terengganu

Razali Idris berkata punca lain termasuk kurang kefahaman syarat pendaftaran dan ketiadaan sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Exco Terengganu Razali Idris berkata PBT melaksanakan proses pemutihan untuk mengenal pasti premis di negeri itu yang beroperasi tanpa lesen serta membantu pemilik memenuhi syarat pelesenan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Sebahagian pengusaha penginapan pelancong di Terengganu masih belum mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) kerana tidak mempunyai lesen operasi premis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), kata exco negeri itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Razali Idris berkata kurangnya kefahaman tentang kepentingan dan kewajipan pendaftaran dengan Motac turut menyumbang kepada masalah tersebut.

“Antara faktor utama ialah ketiadaan kelulusan lesen operasi daripada PBT, iaitu syarat asas sebelum pendaftaran dengan Motac boleh dibuat.

“Ada juga bangunan yang sudah mempunyai kelulusan pembangunan tetapi belum memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC),” katanya kepada FMT.

Razali yang juga Adun Kijal menegaskan premis penginapan pelancong yang beroperasi tanpa lesen PBT adalah menyalahi peraturan dan boleh dikenakan tindakan.

“PBT kini sedang melaksanakan proses pemutihan untuk mengenal pasti premis yang beroperasi tanpa lesen serta membantu pemilik memenuhi syarat pelesenan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Motac sedang mempergiat advokasi serta program kesedaran bagi memastikan pengusaha memahami manfaat dan tanggungjawab pendaftaran, termasuk aspek keselamatan, kualiti perkhidmatan dan imej pelancongan negeri.

“Pendekatan ini juga memberi ruang kepada pengusaha untuk melengkapkan permohonan lesen.

“Bagi premis dikesan beroperasi tanpa lesen, PBT akan mengeluarkan notis pematuhan dan meminta pemilik mengemukakan permohonan dalam tempoh ditetapkan serta menyelesaikan isu ketidakpatuhan,” katanya.

Razali berkata kerajaan negeri menyokong usaha Motac memastikan semua premis penginapan beroperasi secara sah dan mematuhi peraturan.

Menurutnya, proses pendaftaran dengan Motac adalah mudah dan tidak membebankan, dengan fi keseluruhan hanya RM70.

Sebelum ini, Pengarah Motac Terengganu, Mazshidal Roslal, menyeru semua pengusaha penginapan pelancong mendaftar bagi mengelakkan tindakan.

Setakat ini, 181 hotel dan resort di Terengganu telah berdaftar hasil program kesedaran yang dijalankan secara berterusan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.