Menteri pendidikan tinggi berkata cadangan berkaitan perkara itu mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan, selari Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menteri pendidikan tinggi menegaskan, sebarang cadangan berkaitan perkara itu mestilah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, selari dengan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Katanya, pendirian kerajaan Madani kekal konsisten bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu merupakan prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi, dan ia terpakai kepada semua aliran pendidikan tanpa sebarang pengecualian.
“Pada masa sama, KPT bersetuju dengan penegasan perdana menteri bahawa semua aliran pendidikan sama ada Cina, Tamil, Arab, Inggeris mahupun sekolah antarabangsa wajib mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, selaras kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembinaan jati diri dan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang tuntutan menjurus sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.
“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama.
“Saya nak jelaskan begini, ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilaporkan berkata parti itu akan berjumpa perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.
Sementara itu, Zambry berkata KPT akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.
Katanya, penekanan akan terus diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu.
“Di samping pemerkasaan untuk bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa suku, dengan matlamat melahirkan bakat nasional yang multilingualisme, seimbang, berakar pada nilai kenegaraan serta mampu memenuhi tuntutan dan cabaran global,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.