Saya faham kemarahan orang Umno tetapi bukan semua orang Melayu sayang Najib Razak.

Wah bukan main marah penyokong (dalam Umno) Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bekas presiden mereka supaya dibenarkan menjalani hukuman penjara di rumah.
Bertambah marah mereka apabila ada pemimpin Pakatan Harapan (lebih tepat DAP dan PKR) yang mengalu-alukan keputusan mahkamah. Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin menyifatkan keputusan mahkamah “satu lagi sebab untuk meraikan akhir tahun”. Ahli Parlimen Subang Wong Chen pula berkata ringkas: ‘keadilan hidup’.
Antara yang melenting ialah anak presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid dan pegawai presiden, Razlan Rafii. Anak presiden kata, “penat kerja dengan sampah DAP jenis ni”.
Razlan kata Yeo ‘kurang ajar’. Ketua Umno Subang, Armand Azha Abu Hanifah, beri amaran penyokong PH jangan lebih-lebih merayakan keputusan mahkamah lantas berkata, “ingat kerjasama politik bukan lesen untuk biadap”.
Saya anggap itu hak mereka untuk berkata apa yang mereka kata. Nak guna istilah bebal, sampah, kurang ajar. Terpulang. Reaksi Zahid Hamidi, presiden Umno ringkas: “jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak”.
Berbalik kepada Razlan. Beliau ialah setiausaha politik Zahid selaku menteri kemajuan desa dan wilayah.
Menerusi media sosial Razlan berkata “tunggu waktu orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan kamu”, sampil melampirkan hantaran yang dibuat Yeo. Saya faham kemarahan Razlan selaku orang Umno tetapi janganlah babitkan seluruh umat Melayu dalam soal bekas presiden Umno. Bukan semua orang Melayu tidak sambut baik keputusan mahkamah. Ini fakta: Bukan semua orang Melayu sayang Najib macam orang Umno sayang Najib. Tanya orang Melayu dalam parti selain Umno, tanya juga orang Melayu tidak berparti politik.
Bukan Razlan seorang guna unsur kaum dalam isu ini. Akmal Salleh pun gunakannya. Ketua Pemuda Umno mahu Perhimpunan Agung Umno akan datang dijadikan “medan menyuarakan suara keramat orang Melayu”.
Pandangan saya, PAU bolehlah dijadikan medan meluah ‘suara keramat’ orang Umno, tapi bukan orang Melayu keseluruhannya. Bukan semua orang Melayu ahli Umno. Masa zaman Umno kuat lama dahulu pun begitu, walaupun diakui waktu itu jumlah Melayu dalam Umno lebih ramai daripada sekarang.
Apa pun Akmal secara terbuka menggesa Umno menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Di Facebook beliau mempersoalkan mengapa Umno masih kekal menyokong kerajaan Madani lalu menyuarakan kemarahan terhadap apa yang disifatkan ‘penghinaan’ daripada pemimpin PH. Ini jelas merujuk kata-kata Yeo dan Wong Chen lah.
“Apa lagi yang kita tunggu? Tarik je lah sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina puak-puak bebal ini.”
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pun berkata barangkali masanya sudah tiba Barisan Nasional menilai semula hubungan dengan sekutu dalam kerajaan Madani. Oh sebelum lupa. Perlu dinyatakan Akmal pada satu hantaran FB berasingan, beri bayangan ada percaturan politik di sebalik keputusan mahkamah semalam, semasa meluahkan kesal terhadap keputusan mahkamah berhubung permohonan tahanan rumah buat Najib.
Ingin saya ingatkan dalam semua kes setakat ini membabitkan Najib, tiada siapa boleh tuduh beliau tidak diberi pengadilan secukupnya. Beliau diadili mahkamah tinggi, mahkamah rayuan, dan mahkamah persekutuan membabitkan sembilan hakim. Kesnya juga dibawa ke Lembaga Pengampunan yang anggotanya termasuk Yang di-Pertuan Agong. Kesimpulannya Najib sudah guna semua saluran untuk merayu.
Peguam Najib punya sebab dan alasan sendiri apabila mendakwa penolakan permohonan tahanan rumah mahkamah konon telah mengurangkan kuasa raja-raja. Pada hemat saya Umno janganlah terbawa-bawa dengan tuduhan seperti itu.
Baiklah. Apa yang Umno mahu lakukan? Bertanding solo apabila PRU16 diadakan kelak? Bertanding sebagai Umno atau BN? Umum tahu things are not that rosy dalam BN dewasa ini mengambil kira ketidakpuasan hati MIC dan MCA. Andai Umno atau BN gagahkan juga bertanding sendirian, adakah yakin akan menang?
Meskipun ada dalam kalangan parti yang cukup yakin, perlu diingatkan Umno sendiri tahu ia bukan kuat seperti zaman dulu.
Mungkin Umno boleh berganding dengan parti lain — menubuh pakatan baharu. Tetapi adakah Umno pasti parti yang menjadi musuh mereka sekarang tidak akan berbaik dengan kerajaan, sekaligus mengisi kekosongan yang tersedia apabila Umno tarik diri.
Bagi saya, Najib boleh menyulitkan Umno di peti undi, mungkin memudaratkan. Maksudnya Najib tidak semestinya jadi aset tetapi liability. Pasti ada yang tidak setuju pendapat saya ini.
Sayang dan setia kepada Najib tidak ada salahnya tetapi mungkin ada eloknya Umno menghayati kata-kata Marcus Junius Brutus, “not that I loved Caesar less but I that loved Rome more”. Wallahualam.
Umno janganlah emosi sangat. Kenalah realisitk. Fikir apa yang ia mahu sebenarnya dan arah tuju sebelum bertindak, jika tidak mahu diingati suatu masa nanti sebagai sebuah ‘bekas parti politik’.
Satu hantaran di Facebook oleh Jalaini Harun, pegawai diplomatik presiden Umno menarik perhatian saya. Berbunyi: “Najib’s case — we got our points of argument, they got theirs too. We win some, we lose some. We can just march on and pray for the best for him”. Seperti kata-kata Brutus yang disebut tadi, terpulanglah sama ada Umno mahu hayati nasihat itu.
Sebagai penutup, saya rasa Akmal dan Co sedang acah-acah. Umno pada hemat saya akan kekal dalam kerajaan. Banyak rugi daripada untung jika keluar. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.