Tindakan PAS menolak usaha penyatuan menunjukkan parti itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding agenda perpaduan rakyat.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata tindakan PAS menunjukkan parti itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding agenda perpaduan rakyat.

“Apa juga usaha dibuat pihak lain akan dilihat secara prejudis dan penuh sangkaan buruk, sedangkan Islam menggalakkan sangka baik dan perpaduan.
“Ini menunjukkan PAS bukan rakan politik yang baik kerana lebih mementingkan diri sendiri berbanding kestabilan politik,” katanya kepada FMT.
Khamis lalu, Presiden Hadi Awang berkata PAS tidak bersedia menyokong agenda Rumah Bangsa anjuran Umno kerana menyifatkan platform itu tidak berteraskan Islam.
Katanya, kesimpulan itu dibuat selepas pemerhatian wakil yang dihantar parti berkenaan ke pertemuan parti politik terlibat minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, Hadi juga mendakwa PAS dapat melihat Umno sedang dilanda masalah dalaman sehingga ramai ahli meninggalkan parti tersebut.
Sementara itu, Ketua Umno Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman, menyifatkan kesimpulan Hadi sebagai terlalu jumud sedangkan kerangka Rumah Bangsa bertujuan mengajak semua orang Islam bersatu.

“Sungguh terkesima kerana tidak menyangka pemikiran beliau begitu jumud hingga sanggup melontarkan tuduhan keji dan prasangka buruk terhadap sesama Islam.
“Nampak sangat kecelaruan minda dan busuk hati beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz berkata Amanah menyokong usaha yang membawa kepada penyatuan rakyat, sama ada sesama Melayu atau penyatuan nasional antara semua kaum di Malaysia.
Katanya, pendekatan itu selari konsep rahmah dibawa kerajaan yang menekankan nilai kebaikan, perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.