`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, March 9, 2026

Bekas penolong gabenor BNM dilantik pengerusi eksekutif Suruhanjaya Kredit Pengguna

 Pelantikan Abu Hassan Alshari Yahaya selama tiga tahun tanda permulaan rasmi operasi suruhanjaya itu yang akan menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia.

Abu Hassan Alshari Yahaya pernah mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna pada 2021, bagi merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
 Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) mengumumkan pelantikan bekas penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Abu Hassan Alshari Yahaya sebagai pengerusi eksekutif, bagi mengetuai barisan kepimpinan pertamanya, berikutan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 pada 1 Mac 2026.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan selama tiga tahun itu dibuat oleh menteri kewangan, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasi SKP sebagai badan pengawal selia yang bertangungjawab menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia, bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Terdahulu, Abu Hassan mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang ditubuhkan pada Julai 2021, bagi merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

“Sebelum ini, beliau pernah mengetuai beberapa fungsi utama di BNM, termasuk kewangan, pengurusan mata wang, komunikasi strategik dan perkhidmatan sokongan berpusat.

“Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam penyeliaan perbankan dan pernah bertugas sebagai setiausaha kepada lembaga pengarah ketika berkhidmat di BNM,” kata SKP.

Sementara itu, Abu Hassan berkata penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 merupakan langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan.

“Buat kali pertamanya, Malaysia mempunyai undang-undang komprehensif yang memberi fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan, sekali gus memperkukuh dan memperbaiki landskap industri kredit pengguna negara,” katanya.

Yang turut dilantik sebagai Lembaga Pengarah SKP ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Salmah Bee Mohd Mydin, selain wakil daripada Kementerian Kewangan (MoF), BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta beberapa individu profesional berpengalaman daripada industri.

Antara ahli lembaga pengarah ialah Nahidah Usman (wakil MoF), Dr Norhana Endut (wakil BNM), Yew Yee Tee (wakil SC), dan ahli luar Mohd Muazzam Mohamed, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Leong Kah Chern dan Murali Desan SP Krishnamurthy. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.