Anina Saadudin berkata semangat untuk membawa perubahan dalam politik negara harus diperjuangkan Bersatu.

Bercakap kepada FMT, Anina berkata Bersatu yang ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 lahir hasil desakan rakyat di peringkat akar umbi kerana bosan melihat pertelagahan pemimpin.

“Asas penubuhan Bersatu adalah untuk memenuhi desakan rakyat akar umbi yang mahu melihat perubahan dalam politik negara, bukannya melihat pemimpin bertelagah merebut jawatan.
“Rakyat juga mahu parti boleh menjadi semak dan imbang kepada Umno yang memerintah begitu lama,” katanya yang kecewa dengan konflik parti itu ketika ini.
Selepas sembilan tahun ditubuhkan, hanya Presiden Muhyiddin Yassin kekal bersama Bersatu manakala tujuh pengasas asal termasuk Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Akhramsyah Sanusi Junid, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lagi bersama parti.
Konflik dalaman Bersatu sampai ke kemuncak apabila Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dipecat susulan krisis kepimpinan dengan Muhyiddin pada 13 Feb lalu.
Bekas timbalan presiden Bersatu dan ketua pembangkang itu mendakwa mendapat sokongan 18 Ahli Parlimen terdiri daripada lima yang dipecat serta 13 lagi yang masih kekal dalam parti.
Anina berkata krisis itu mungkin boleh dielakkan jika pimpinan Bersatu berlapang dada ketika berdepan konflik dalaman yang dianggap perkara biasa dalam sesebuah parti.
“Presiden perlu berlapang dada, berjiwa besar menyatupadukan semula dan pemimpin,” katanya yang turut menggesa jawatan pengerusi diperkenal semula untuk mengimbangi kuasa presiden.
Jawatan itu disandang Mahathir sebelum dipecat pada 28 Mei 2020.

Kamarulazman Habibur turut meluahkan kebimbangan serius mengenai hala tuju Bersatu, sambil mendakwa kemelut berlaku kerana tindakan kepimpinan sedia ada mengamalkan politik kuno sejak awal penubuhannya.
“Sudah sampai masanya Bersatu diterajui pemimpin muda dan dinamik untuk kembali bangkit dalam menarik kumpulan atas pagar, terutamanya mereka yang tidak berparti,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.