Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group Mohd Syafiq Abdullah berkata pihaknya mahu menjadi sebuah konglomerat yang kekal kompetitif untuk jangka panjang.

Strategi berkenaan digerakkan melalui lima pemacu utama yang menjadi kerangka baharu hala tuju syarikat merangkumi Strategi Arah Tuju, Kecemerlangan Operasi, Kemampanan Kewangan, Kepimpinan dan Bakat, serta Tadbir Urus dan Integriti.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Mohd Syafiq Abdullah, berkata pihaknya berhasrat untuk meletakkan kedudukan syarikat sebuah konglomerat yang kekal kompetitif untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.
“Fokus kami adalah memastikan VFive berkembang secara konsisten dan berstruktur supaya organisasi ini terus relevan dan memberi impak merentas generasi.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, strategi perniagaan, tadbir urus yang baik, kestabilan kewangan dan pembangunan modal insan perlu bergerak secara seimbang dan berterusan,” katanya sempena Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di Putrajaya, baru-baru ini.
Acara tahunan itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga kerja VFive dan pemegang taruh, selain menyantuni tetamu jemputan termasuk anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
VFive Group turut menyalurkan sumbangan kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta pertubuhan kebajikan dalam bentuk replika cek sebagai simbol komitmen berterusan terhadap tanggungjawab sosial.
Dalam pada itu, Mohd Syafiq berkata, keseluruhan kerangka jangka panjang berkenaan diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang menjadi asas pembentukan nilai dalaman organisasi.
“Nama ‘VFive’ sendiri diilhamkan daripada lima prinsip tersebut yang diterjemahkan ke dalam budaya kerja dan pendekatan kepimpinan.
“Lima Rukun Islam menekankan integriti, disiplin, tanggungjawab sosial dan komitmen jangka panjang. Nilai-nilai spiritual ini menjadi asas dalam membentuk budaya kerja serta pengurusan VFive Group yang berprinsip,” katanya.
Menurutnya, gabungan strategi korporat yang progresif dengan sistem nilai yang cemerlang merupakan asas utama dalam membina organisasi yang mampu bertahan merentas generasi.
“Pertumbuhan perlu disokong oleh prinsip yang kukuh, manakala prinsip pula perlu diterjemahkan melalui strategi yang jelas.
“Gabungan kedua-duanya penting dalam memastikan organisasi mampu bertahan dalam jangka masa panjang,” jelasnya lagi. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.