KWSP, PNB dan KWAP merupakan pemegang saham dalam IJM Corporation.

MoF berkata pada masa kini, di antara GLIC yang memegang saham dalam IJM, tiada satu institusi yang mempunyai pegangan dan mempunyai blok kawalan strategik ke atas IJM.
“Transaksi yang dicadangkan ini berbentuk tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat. Ini bermakna tawaran berkenaan dikemukakan kepada semua pemegang saham termasuk pemegang saham bukan GLIC, atas asas yang sama.
“Setiap pemegang saham bebas untuk menerima atau menolak tawaran ini,” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
MoF menjawab soalan Senator Rosni Sohar mengenai penilaian kerajaan terhadap cadangan pengambilalihan IJM Corporation oleh Sunway Bhd khususnya dari perspektif kepentingan strategik pemilikan ekuiti ekonomi Bumiputera memandangkan hampir separuh pegangan saham IJM dimiliki oleh institusi pelaburan negara.
Syarikat tersebut memiliki pelbagai aset strategik termasuk Pelabuhan Kuantan dan lebuh raya utama.
Kebimbangan ini khususnya menjurus kepada kepentingan GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP yang merupakan pemegang saham dalam IJM.
Bagi memastikan tawaran tersebut berjaya, lebih 50% daripada keseluruhan pemegang saham perlu beri persetujuan, menurut MoF.
Tambah MoF, mengenai integriti keputusan pelaburan, GLIC merupakan institusi kewangan profesional yang terikat dengan piawaian tadbir urus yang ketat dan mandat pelaburan yang jelas.
“Kerajaan menaruh kepercayaan penuh bahawa institusi-institusi ini akan membuat keputusan yang tepat bagi melindungi kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang menjadi pencarum mereka,” katanya.
Mengenai pemilikan aset strategik seperti Pelabuhan Kuantan dan konsesi tol, MoF berkata kerajaan mengekalkan mekanisme kawalan langsung ke atas aset-aset tersebut.
“Sebagai contoh, kerajaan mempunyai saham khas (golden share) dalam Konsortium Pelabuhan Kuantan. Konsesi tol pula kekal tertakluk kepada terma Perjanjian Konsesi serta pengawal seliaan kerajaan,” katanya.
MoF berkata memandangkan proses ini masih berjalan, kerajaan yakin syarikat GLIC melaksanakan penilaian terhadap transaksi ini secara bebas dan berasaskan prinsip komersial dengan mengambil kira kepentingan strategik negara. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.