Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, parti itu berada dalam kerajaan perpaduan yang turut disertai pelbagai parti lain juga.

Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan, parti itu tidak pernah mengikat sebarang kontrak politik dengan DAP dan hanya bersama dalam kerajaan perpaduan yang turut dianggotai pelbagai parti lain.
Menurutnya, perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadi faktor perpecahan jika semua pihak bersedia mencari titik persamaan.
“Perbezaan tidak memisahkan, tetapi menguatkan jika disatukan,” katanya.
Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini mempelawa ahli yang dipecat dan digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan menerusi insiatif ‘Rumah Bangsa’.
Bagaimanapun, segelintir bekas pemimpin Umno menolak pelawaan untuk menyertai semula parti itu kerana menganggap ia bekerjasama dengan DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH).
Mengulas respons itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, Umno tidak pernah memaksa mereka dan terpulang kepada pendirian masing-masing untuk membuat keputusan.
Terdahulu, bekas ketua Umno Selangor Noh Omar berkata, beliau bersedia menyahut pelawaan itu, namun dengan syarat parti itu menamatkan kerjasamanya dengan DAP.
Menurut beliau, prinsip perjuangan parti perlu dipertahankan, khususnya kepentingan Islam dan hak Melayu.
Sementara itu, Naib Ketua Umno Seremban Mohd Asna Amin berkata, pelbagai usaha sebenarnya telah dilakukan di bawah kerajaan perpaduan untuk memperkasakan agenda Melayu dan Bumiputera serta pengukuhan pendidikan Islam.
Katanya, pentadbiran hari ini bukanlah hanya Umno dan DAP semata-mata tetapi melibatkan gabungan 18 parti politik.
“BN hanya ‘bekerjasama’ dengan DAP dan PH dalam kerajaan perpaduan, bukan bergabung dalam PRU,” katanya.
“Bukan seperti PAS dan Bersatu yang pernah bergabung sebelum ini bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dan PH. Terserah kepada Noh untuk menentukan hala tuju politik sendiri kerana Umno telah membuka pintu seluas-luasnya,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.