Jabatan Alam Sekitar berkata kontena itu dihantar dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Turki, Sepanyol dan China.

JAS dalam kenyataan memaklumkan operasi yang memasuki hari keempat itu melibatkan pemeriksaan terhadap tujuh kontena tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan diperiksa sepanjang tempoh operasi sebanyak 158 kontena.
Menurut JAS, kontena berkenaan dipercayai dihantar dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Turki, Sepanyol, China, Thailand, Kanada, Uruguay dan Ecuador.
“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram khususnya sisa elektrik dan elektronik yang berpotensi memberi kesan serius dan menjejaskan alam sekitar serta kesihatan awam,” katanya.
JAS memaklumkan pemulangan semula kontena yang mengandungi e-sisa dan buangan terjadual ke negara asal akan dilaksana melalui pengeluaran Notis Arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak terlibat termasuk pengimport, ejen penghantaran, syarikat perkapalan atau mana-mana pihak yang terlibat.
“Tindakan pemulangan semula kontena ke negara asal dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Konvensyen Basel, melibatkan negara-negara pengeksport yang telah dikenal pasti.
“Kegagalan mematuhi arahan atau penglibatan dalam aktiviti pengimportan haram buangan terjadual boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM100,000 serta tidak melebihi RM10 juta,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JAS memaklumkan tindakan turut diambil terhadap kilang haram memproses e-sisa yang didirikan tanpa kelulusan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah.
Ops Bongkar dilaksana bagi mengesan kontena yang disyaki mengandungi buangan terjadual khususnya sisa elektronik yang cuba dibawa masuk secara tidak sah ke Malaysia melalui Pelabuhan Klang.
Operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi strategik iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Jabatan Kastam, Lembaga Pelabuhan Klang serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim). - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.