Pemimpin Umno Othman Desa berkata cadangan Annuar Musa supaya parti itu dan PAS bekerjasama bawah MN tidak lagi relevan.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa berkata parti itu komited untuk menjayakan agenda ‘Rumah Bangsa’ yang bertujuan menyatupadukan orang Melayu melangkaui politik partisan.
Othman juga menyifatkan cadangan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu tidak lagi relevan kerana Umno enggan berada di bawah payung MN yang digagalkan PAS.
“Cukuplah. Kita buka buku baharu sebab mereka (PAS) yang rosakkan (hubungan) sekarang ini nak ajak balik dalam MN.
“Mereka yang gagalkan MN dulu,” katanya kepada FMT mengulas gesaan Annuar supaya Umno dan PAS menghidupkan semua MN.
Annuar, bekas setiausaha agung Umno yang menyertai PAS pada Jun 2023 turut menyifatkan perpaduan Melayu-Islam sebagai satu perkara mudah yang boleh dicapai tanpa sebarang susunan politik lain, termasuk inisiatif ‘Rumah Bangsa’ cetusan Umno.
Menurut Annuar, kedua-dua parti harus bertemu terlebih dahulu untuk mengenal pasti titik persamaan.
MN dibentuk oleh PAS dan Umno pada September 2019 untuk menyatukan undi Melayu-Islam, namun dilihat berkubur menjelang PRU15.
Ia susulan tindakan PAS bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).
Othman yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno turut mendakwa cubaan Annuar membangkitkan kembali cadangan itu kerana ingin menjadi ‘hero’.
“Mengapa Annuar tiba-tiba timbul nak jadi hero, mengapa?
“Jangan rosakkan agenda Umno,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.