Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata empat parti lain juga setuju tubuh Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu, dan Bumiputera.

Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan Presiden Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
Parti lain turut terlibat dalam pertemuan berkenaan adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan) dengan pertemuan berlangsung di Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu, dan Bumiputera di negara ini.
“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik.
Asyraf turut memaklumkan pimpinan parti yang menghadiri pertemuan itu juga bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu, dan Bumiputera sebagai platform perundingan dalam isu berkepentingan bersama.
Januari lalu, Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk kolaborasi agung dan ‘Rumah Bangsa’ bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.