`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Sunday, April 26, 2026

BWF lulus sistem kiraan mata baharu 3×15 mulai 2027

 Sistem kiraan 3×15 itu akan menggantikan format sedia ada 3×21 dan dijadualkan berkuat kuasa 4 Jan 2027.

Presiden BWF Khunying Patama Leeswadtrakul berkata keputusan tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memajukan sukan badminton ke tahap lebih tinggi. (Gambar EPA Images)
HORSENS:
 Ahli-ahli Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan penggunaan sistem kiraan mata baharu 15 mata (tiga set) selepas memperoleh majoriti dua pertiga undi yang diperlukan pada Mesyuarat Agung Tahunan BWF ke-87 berlangsung di sini hari ini.

Sistem kiraan 3×15 itu akan menggantikan format sedia ada 3×21 dan dijadualkan berkuat kuasa mulai 4 Jan 2027.

Presiden BWF, Khunying Patama Leeswadtrakul, berkata keputusan tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memajukan sukan badminton ke tahap lebih tinggi.

“Sistem kiraan mata 3×15 ini bertujuan menjadikan perlawanan badminton lebih menarik dan kompetitif, selain memperbaiki jadual kejohanan, memastikan tempoh perlawanan lebih konsisten serta memberi manfaat kepada kebajikan dan pemulihan pemain.

“Dengan wujudnya detik bertekanan tinggi lebih awal, kedudukan mata yang lebih rapat serta penamat lebih dramatik, format ini diharap dapat memastikan peminat terus teruja dari awal hingga tamat perlawanan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas kebimbangan beberapa pihak berkepentingan, beliau menegaskan perubahan itu tidak akan menjejaskan asas sukan badminton.

“Kami sedar perubahan boleh menimbulkan kebimbangan, terutama dalam sukan yang mempunyai tradisi kukuh. Namun keputusan ini tidak mengubah sifat asas badminton. Kemahiran, taktikal, tuntutan fizikal dan mental serta dramatik sukan ini akan kekal.

“Apa yang berubah adalah usaha untuk memperkukuh sukan ini dengan mengekalkan keistimewaan badminton dan memastikan pemain terbaik dunia terus dapat bersaing, memberi inspirasi serta berhubung dengan peminat di seluruh dunia untuk tempoh lebih lama,” katanya.

BWF dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya akan terus mendengar pandangan ahli, pihak berkepentingan serta pemain ketika sukan itu melalui proses penyesuaian terhadap perubahan tersebut.

Dalam perkembangan lain, bekas presiden BWF dan naib presiden kehormat seumur hidup, Poul-Erik Hoyer disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF bagi kategori pentadbir, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam tadbir urus serta pembangunan badminton di peringkat global. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.