`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, April 14, 2026

Kedaulatan bukan untuk diperjudikan

Dalam perang AS-Israel melawan Iran, kita melihat ancaman asing membuatkan perbezaan menjadi kecil dan titik persamaan disatukan. Ini pengajaran yang harus kita ambil iktibar.

ronasina

Perang Iran dan Amerika Syarikat-Israel membuka ruang untuk kita berfikir banyak perkara, bukan sekadar tentang geopolitik di Timur Tengah sahaja tetapi tentang kita dan negara sendiri. Dalam kacau-bilau perang ini, pelajaran yang harus kita genggam tak tiris ialah: sesebuah negara hanya benar-benar tegak apabila rakyatnya tahu bilakah masanya untuk teguh berdiri bersama walaupun berbeza pandangan.

Kita boleh tidak bersetuju dengan kerajaan. Itu hak dalam sistem demokrasi. Kita boleh mengkritik dasar, mempersoal keputusan malah turun ke jalan kerana semua itu sebahagian amalan demokrasi yang sihat. Tetapi ada satu garis yang seharusnya pantang untuk kita lintasi iaitu membuka pintu kepada campur tangan asing atas nama menjatuhkan kerajaan sendiri.

Sejarah mempertontonkan kita contoh yang terlalu jelas. Lihat Iraq yang suatu ketika dahulu mempunyai struktur negara yang berfungsi dengan identiti nasional yang kuat. Namun apabila campur tangan asing berlaku menyaksikan runtuhnya seluruh sendi negara. Keamanan terus lenyap sehingga ada sebahagian rakyat yang sebelumnya mengalu-alukan perubahan rejim akhirnya menanggung akibat.

Begitu juga dengan beberapa negara lain yang menjadi medan percaturan kuasa besar. Naratifnya hampir sama — ada pihak dalam negara yang merasakan bantuan luar jalan pintas untuk menukar rejim. Tetapi sejarah berulang kali mempamerkan kisah yang sama yakni kuasa asing tidak datang dengan niat kosong. Mereka datang sambil mengintai laba daripada kepentingan ekonomi, strategik serta menanam ideologi. Sesudah matlamat tercapai mereka akan menjajah dan memegang kuasa sehingga menjadikan kita bergantung harap pada mereka pula.

Dalam perang AS-Israel melawan Iran, kita melihat sesuatu yang menarik. Walaupun pandangan kita terhadap pemerintahan Iran bermacam-macam, kenyataan yang sukar dinafikan ialah tekanan luar mengukuhkan solidariti. Ancaman asing membuatkan perbezaan dalaman menjadi kecil dan titik persamaan disatukan. Apabila kedaulatan negara dicabar, seluruh rakyat bersama pemimpin.

Di sinilah pengajaran yang harus kita ambil iktibar. Kita ini bukan hanya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi dipecahkan lagi dengan perbalahan politik. Dalam semua perbezaan ini, kita harus sentiasa sedar bahawa kita berkongsi satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan: Malaysia milik kita. Ini hakikatnya.

Pada pemerhatian saya, memang ada pihak yang berpendapat bahawa jika kerajaan terlalu lemah atau terlalu korup, maka tidak salah jika kita mendapatkan bantuan dari luar untuk membetulkan kembali negara. Logiknya mudah iaitu matlamat menghalalkan cara. Jika kuasa asing boleh membantu menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh majoriti rakyat, mengapa tidak gunakan cara ini?

Ini bukan sekadar soal strategi politik. Ini soal prinsip. Apa pun yang berlaku, kita sendirilah yang bertanggungjawab menyelesaikannya dengan cara kita sendiri. Itulah semangat patriotisme yang wajar ditanam kepada kita semua dalam setiap denyut nadi generasi.

Rukun Negara jelas meletakkan ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ sebagai prinsip kedua. Ini bukan slogan kosong untuk dihafal di sekolah. Ia kompas dan panduan moral dalam menghadapi apa saja situasi dalam negara apatah lagi pada saat-saat genting. Kesetiaan ini bukan bermaksud kita menyokong membuta tuli, sebaliknya ia bermaksud kita tidak akan menggadaikan kedaulatan negara demi kemenangan politik jangka pendek.

Membenarkan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan sendiri adalah suatu bentuk putus asa yang amat berbahaya, lebih tepat ia satu pengkhianatan.

Agak aneh jika ada sesetengah pihak yang gemar bermain politik sempit dan menyemai benih kebencian sanggup bermain kotor sampai ke tahap ini. Mereka seolah gagal membezakan antara parti politik, parti pemerintah dan juga negara. Tiga ini amat besar bezanya. Kerajaan boleh bertukar ganti tetapi negara tetap satu. Jika hari ini kita mengalu-alukan kuasa asing untuk menjatuhkan kerajaan yang kita tidak suka, apa jaminan esok kuasa yang sama tidak akan menentukan hala tuju kita?

Apa jaminan mereka akan pergi selepas misi selesai?

Inilah sebabnya mengapa kedaulatan negara bukan sesuatu yang boleh dirunding lebih-lebih lagi diperjudikan. Ia bukan alat tawar-menawar atau harta yang boleh ditebus dan digadai.

Proses demokrasi membenarkan kita mengkritik kerajaan untuk semak dan imbang serta ditukar melalui proses yang sah. Itu tanggungjawab rakyat dalam negara demokrasi. Semua itu mesti dilakukan dalam kerangka negara berdaulat, bukan dengan menjemput campur tangan luar. Kita telah pun melalui proses ini. Kita berpengalaman menukar kerajaan melalui pilihan raya tanpa ada sedikit pun kekacauan. Inilah mahalnya Malaysia.

Perang Iran-AS, dalam segala sudut pandang, mengingatkan kita bahawa kuasa besar akan sentiasa mencari ruang untuk meluaskan pengaruh. Iran berjaya satukan rakyat dalam melawan anasir asing yang menggugat. Kita di sini harus juga ‘rapatkan saf’. Kita mungkin berbeza pandangan tentang banyak perkara tetapi kita tinggal dalam rumah yang sama. Maka, kita harus bersama dalam mempertahankan rumah kita.

Kerana apabila ‘rumah’ ini runtuh, sudah pasti kita semua huru-hara sebab tiada lagi ruang untuk kita berdebat dan bermain di dalamnya.

Perang itu turut memberikan kesan yang tidak sedikit kepada kita. Krisis tenaga akan membuat ekonomi menggelupur dan tercungap. Seharusnya tiada pihak di sini yang cuba menangguk di air yang keruh. Bezakan ideologi politik, kita bersatu. Usaha meraih keuntungan politik pecah-belah akan membuat suasana menjadi makin parah. Rakyat dan negara harus didahulukan, sentimen politik dikemudiankan. Itulah iktibar yang harus kita ambil meskipun kita banyak berselisih ideologi.

Hubbul wathon minal iman (cintakan negara adalah sebahagian daripada iman)! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.