`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Monday, April 6, 2026

PRN Johor: Zaliha sedia runding, Pemuda Umno beri ‘lampu hijau’

 Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa berkata sebarang bentuk kerjasama perlu dilaksanakan melalui saluran tertib dan berhemah.

zaliha mustafa
Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa, berkata keterbukaan berunding dengan Umno menjelang PRN selari semangat demi kestabilan.
PETALING JAYA:
 PKR Johor terbuka mengadakan rundingan bersama Umno dengan sayap Pemuda negeri mengalu-alukan langkah itu mendepani PRN akan datang.

Ketua Dr Zaliha Mustafa, berkata sebarang bentuk kerjasama perlu dilaksanakan melalui saluran tertib dan berhemah, selari dengan semangat kerajaan Madani bagi menjamin kestabilan politik serta kemenangan bersama.

“PKR Johor menerima baik amanat dan teguran Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya semua pimpinan memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi serta gerak kerja akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang.

“Amanat presiden jelas iaitu kekuatan parti tidak ditentukan oleh tuntutan kerusi, tetapi oleh disiplin jentera, kesatuan pimpinan dan keupayaan memenangi keyakinan rakyat,” katanya kepada FMT.

Zaliha berkata, pendekatan itu kini menjadi fokus utama PKR Johor dalam memperkukuh kekuatan dalaman parti di peringkat negeri.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anwar yang meminta PKR Johor menggunakan saluran yang baik untuk berunding dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan, termasuk Umno, bagi menghadapi PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Anwar berkata, setiap rundingan juga perlu mengambil kira kekuatan sokongan dimiliki parti itu di peringkat Parlimen. Pada PRN Johor ke-15, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.

Sementara itu, Pemuda Umno Johor mengalu-alukan kesediaan PKR Johor mengambil pendekatan berunding bagi menentukan pembentukan gabungan serta kerjasama politik menjelang PRN.

Ketua Noor Azleen Ambros, berkata rundingan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab memberi isyarat keutamaan harus diberikan kepada kepentingan rakyat dan negeri Johor.

“Walaupun difahamkan proses rundingan tersebut belum berlaku, Pemuda Umno Johor tidak menolak kemungkinan untuk Umno-BN negeri menilai secara menyeluruh kelebihan dan kekurangan, sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana gabungan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.