Hab itu jadi simbol komitmen berterusan sekolah dalam perkasa pendidikan melalui integrasi digital yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Hab itu menjadi simbol komitmen berterusan sekolah dalam memperkasa pendidikan abad ke-21 melalui integrasi digital yang menyeluruh dan berimpak tinggi baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda sempena program MAIPs Peduli Khas itu disambut Guru Besar Tengku Hazleen Tengku Azman, dan turut haddir Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin serta Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Che Rasaidi Che Yob.
Menurut kenyataan, SK Oran terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan digital apabila mencatat pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan menerusi inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi.
Kata kenyataan itu, Hub Digital Showcase ini berfungsi sebagai ruang pameran interaktif yang memaparkan pelaksanaan teknologi digital dalam bilik darjah, sekali gus menjadi pusat rujukan kepada sekolah lain serta para pelawat dalam meneroka amalan terbaik pendidikan digital.
“Ruang tersebut direka secara profesional dengan konsep galeri terbuka, lengkap dengan laluan tengah yang memudahkan pergerakan lawatan, pembentangan dan sesi perkongsian ilmu.
“Paparan maklumat seperti banner, poster infografik dan kod QR disusun secara strategik bagi mengetengahkan program digital sekolah, pencapaian murid dan guru serta analisis data dan impak PdP,” katanya.
Selain itu, zon demonstrasi teknologi turut disediakan melalui susunan meja interaktif yang membolehkan pelawat menyaksikan secara langsung penggunaan peralatan digital, projek murid serta pelaksanaan aktiviti berasaskan STEM dan inovasi.
Menurutnya, kemudahan ini turut dilengkapi dengan skrin paparan digital, ruang pembentangan khas serta susun atur menyerupai pameran korporat, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, moden dan profesional.
“Elemen Smart Classroom turut diterapkan melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan murid dengan susun atur fleksibel yang menggalakkan kolaborasi serta aktiviti interaktif.
“Persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berteraskan tema digital ini bukan sahaja mewujudkan suasana pembelajaran abad ke-21, malah merangsang kreativiti serta semangat eksplorasi dalam kalangan murid,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan SK Oran dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital di Perlis, di samping menyokong aspirasi melahirkan generasi celik teknologi, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan tersebut, SK Oran turut tersenarai sebagai calon World Best School Prizes 2026, satu anugerah berprestij bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf sekolah-sekolah cemerlang di seluruh dunia.
Selain itu, sekolah ini juga berhasrat untuk diiktiraf sebagai Google Reference School, sekali gus berpotensi menjadi antara sekolah perintis terawal di Malaysia dalam memperkasa pendidikan digital, inovasi PdP serta penggunaan teknologi secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.