Norhazni Mat Sari mengaku tidak bersalah atas dakwaan terima bayaran daripada pengarah syarikat yang ada kaitan dengan urusan rasmi.

Norhazni Mat Sari, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, Norhazni yang bertugas sebagai timbalan ketua pengarah (pembangunan) JAS didakwa menerima manfaat berupa bayaran membaik pulih rumahnya berjumlah RM9,110 tanpa balasan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Public Bank Berhad cawangan Klang pada 25 Mei 2022.
Bayaran berkenaan dibuat Pengarah Syarikat E-Concern (Borneo) Sdn Bhd Tang Siong Hee, yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh melalui pindahan dalam talian ke akaun milik Kah Yong Construction & Engineering Sdn Bhd.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, yang akan didengar bersama enam kes lain.
Jumaat lalu, Norhazni didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada syarikat sama, empat tahun lalu.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.