`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Friday, September 25, 2026

Jangan tunggu keadaan parah, NUTP gesa nilai guru bermasalah mental

 NUTP cadang panel khas dianggotai pakar kesihatan dan pengurusan pendidikan menentukan sama ada guru masih sesuai mengajar, memerlukan rawatan atau perlu ditukar tugas.

girl stress office tekanan pejabat
Penilaian penting bagi menentukan tindakan sesuai sama ada guru masih boleh mengajar, memerlukan rawatan dan tempoh pemulihan, kembali bertugas dengan penyesuaian tertentu atau dipindahkan kepada tugas lain.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menubuhkan panel khas untuk menilai guru yang mengalami masalah kesihatan serius dan berpanjangan sebelum menentukan sama ada mereka masih sesuai mengendalikan murid.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata panel itu perlu membabitkan pakar psikologi klinikal, psikiatri, pegawai perubatan, pengurusan pendidikan serta wakil profesional berkaitan.

Katanya, penilaian itu penting bagi menentukan tindakan sesuai, sama ada guru terbabit masih boleh mengajar, memerlukan rawatan dan tempoh pemulihan, kembali bertugas dengan penyesuaian tertentu atau dipindahkan kepada tugas lain.

“Jika tidak lagi mampu meneruskan tugas sebagai guru dan perlu melalui proses persaraan atas faktor kesihatan atau mekanisme ‘exit policy’ yang sewajarnya.

Fouzi Singon
Fouzi Singon.

“Kita tidak boleh membiarkan sistem menunggu sehingga sesuatu keadaan menjadi lebih serius sebelum tindakan diambil,” katanya kepada FMT.

Fouzi berkata, langkah itu bukan bertujuan menghukum atau mendiskriminasi guru yang berdepan masalah kesihatan, sebaliknya memastikan mereka mendapat rawatan dan perlindungan sewajarnya tanpa mengabaikan kepentingan murid.

“Kita mahu satu sistem yang lebih manusiawi, profesional dan pantas. Guru yang sakit mendapat rawatan dan perlindungan, manakala murid mendapat hak mereka untuk menerima pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau mengulas data terkini menunjukkan 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikategorikan berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.

Pada 21 Sept lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Dr Mohd Bakhari Ismail, berkata jumlah itu menunjukkan kepentingan memperkukuh kesejahteraan psikologi penjawat awam secara menyeluruh.

Sementara itu, ahli kesatuan sekerja yang enggan dikenali berkata tekanan dalam sektor awam turut berpunca daripada kekurangan tenaga kerja, kemudahan dan peralatan, selain tuntutan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

Katanya, keadaan itu menyebabkan sesetengah kakitangan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan keperluan asas di tempat kerja.

“Bila alat tak cukup, kadang-kadang kakitangan terpaksa membeli menggunakan duit sendiri. Gaji pun tidak seberapa tinggi, tetapi terpaksa keluarkan duit sendiri.

“Benda-benda seperti ini memang wujud dan akhirnya boleh menyebabkan tekanan,” katanya.

Beliau berkata, tekanan turut dirasai anggota penguat kuasa dan petugas kesihatan akibat kekurangan tenaga kerja serta tuntutan tugas yang tinggi.

Menurutnya, perubahan dasar, sistem kerja dan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut mencabar sebahagian penjawat awam, terutama mereka yang sukar menyesuaikan diri dengan sistem baharu.

Katanya, dalam kes tertentu, penjawat awam yang mengalami masalah kesihatan serius boleh melalui proses persaraan atas faktor kesihatan selepas penilaian sewajarnya.

“Langkah itu penting supaya kakitangan yang telah lama berkhidmat tetapi kemudian mengalami masalah kesihatan tidak terus dipaksa menjalankan tugas yang tidak lagi mampu dilaksanakan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.