Naib Presiden PKR Dr Zaliha Mustafa berkata, kesetiaan rakan komponen dalam susah dan senang tidak akan dikorbankan demi percaturan politik.

Zaliha berkata, DAP merupakan rakan setia PKR sejak era BA, Pakatan Rakyat sehinggalah ke Pakatan Harapan (PH), dan kesetiaan itu tidak akan dikorbankan demi percaturan politik.
“Kita telah lalui pelbagai jatuh bangun bersama, daripada siri kekalahan, kemenangan PRU14, kejatuhan kerajaan pada 2020 sehinggalah kembali membentuk kerajaan selepas PRU15. Dalam susah dan senang, kita tetap bersama.
“PKR bukan Umno. Saling menghormati dan mempercayai itu penting sebagai rakan gabungan, bukan ‘guna ketika perlu’,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin dapat menyelamatkan kedudukan politiknya dengan menghidupkan semula kerjasama seperti BA bersama PAS, tanpa DAP.
Menurut Khairy, langkah itu boleh membantu PH mengukuhkan sokongan pengundi Melayu menjelang PRU16 selepas gabungan itu hanya memenangi empat kerusi pada PRN Melaka, berbanding 24 kerusi yang dikuasai Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyifatkan idea yang dilontarkan Khairy itu sekadar pandangan peribadi daripada seorang pemimpin yang latar belakangnya Umno.
Katanya, sebarang keputusan membabitkan kerjasama politik parti itu tidak dibuat secara individu, sebaliknya perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama.
“PAS melihat kerjasama antara BN dengan PN sudah memadai bagi persiapan menghadapi PRU akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad turut berpendapat cadangan itu tidak logik dan mustahil untuk direalisasikan memandangkan sejarah pertembungan antara parti-parti tersebut.
“Tidak mungkin pakatan itu akan dihidupkan semula kerana pemutusan hubungan itu telah dibuat pada Muktamar PAS. Jadi amat payah untuk diwujudkan semula.
“Mereka yang buat cadangan itu tidak melalui pengalaman tersebut, oleh itu telah buat cadangan yang pada saya tidak logik,” katanya.
BA merupakan gabungan parti pembangkang yang ditubuhkan pada 1999 susulan gelombang gerakan Reformasi selepas pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada September 1998.
Gabungan itu pada asalnya menghimpunkan Parti Keadilan Nasional (kini PKR), PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi menentang BN pada PRU 1999, sebelum DAP menarik diri pada 2001 susulan percanggahan pendirian berhubung isu penubuhan negara Islam oleh PAS. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.