Mohd Zafir Ibrahim berkata, pihaknya hanya tahu Ismail Lasim letak jawatan MB menerusi kenyataan di media sosial pada 16 Nov.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan Adun Juasseh itu menerusi kenyataan di media sosial pada 16 Nov.
“Benda ini tidak pernah berlaku (menteri besar letak jawatan) dan kami memang tidak ada satu prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung perkara itu.
“Prosedur ini berbeza daripada perkhidmatan awam kerana ia melibatkan urusan pentadbiran yang berlainan daripada tatacara berkaitan penjawat awam,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis di Seremban hari ini, lapor Bernama.
Ketika mengulas mengenai kedudukan menteri besar pula, Mohd Zafir berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang maklumat terkini, termasuk perkembangan hasil pertemuan Ismail dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap semalam.
Justeru, katanya, urusan pentadbiran di Pejabat SUK, Pejabat Menteri Besar dan jabatan-jabatan kerajaan negeri berjalan seperti biasa bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak tergendala.
“Perjalanan Pejabat Menteri Besar berjalan macam biasa, fungsinya juga berjalan macam biasa. Saya pun tak ada jumpa (Ismail) lagi buat masa ini,” katanya.
Mohd Zafir turut menambah, beliau tidak menerima sebarang panggilan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan perkembangan itu.
Ismail, 67, yang mengangkat sumpah jawatan menteri besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos, dilaporkan meletak jawatan itu pada Isnin.
Istana Negeri Sembilan semalam memaklumkan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Tuanku Muhriz turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail dalam sesi yang bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang semalam. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.