KUALA LUMPUR: Lebih ramai warga Malaysia menzahirkan penghargaan atas usaha yang dilakukan negara dan petugas barisan depan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Shacind Ananthan, pelajar tahun pertama jurusan ekonomi di United Kingdom, berkongsi di Facebooknya mengenai perjalanan pulang dari UK dan berakhir di Hotel KLCC Impiana, lokasi beliau dan 73 individu lain dikuarantin.
“Semuanya bermula dalam penerbangan dari Doha ke KL, di mana saya telah transit dari Manchester. Dengan hanya 50 orang di dalam pesawat, kami dipisahkan dan duduk berasingan,” tulis pelajar berusia 18 tahun itu pada 10 April lalu.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 April, mereka disambut mesra 2 anggota berunifom yang sentiasa mengingatkan penjarakan sosial 1m dan membawa mereka ke sky train.
“Suasana berulang yang anda dapati ialah di setiap pusat pemeriksaan, sekurang-kurangnya seorang atau 2 pekerja melaksanakan tugas mereka dengan dedikasi dan segalanya berjalan lancar, seolah-olah prosedur ini dibuat secara teliti, telah berjalan bertahun-tahun,” kata Shacind yang berasal dari Johor.
Beliau berkata, selepas melepasi kaunter imigresen, seorang pegawai memberinya borang penilaian diri, iaitu beliau perlu memantau dan melaporkan simptomnya setiap hari.
“Keceriaan berterusan di wajahnya apabila memanggil saya ‘adik’ membuatkan saya rasa selamat,” tulisnya sambil menambah persoalan yang bermain dalam fikiran ialah mereka akan dibawa ke mana?
“Saya terdengar mereka berharap agar ditempatkan di hotel 5 bintang di KL. Walau dalam situasi ‘sekarang’, rakyat Malaysia masih mengharapkan kemewahan dan keselesaan, bukan?
“Anggota polis dengan sopan menjawab dia tidak pasti di mana kami akan ditempatkan untuk kuarantin, tetapi dia memberi jaminan kami akan tetap mendapat tempat yang baik,” katanya sambil menambah beliau sangat kagum dengan kecekapan setiap pegawai.
“Saya masih tidak percaya dan tertanya-tanya berapa banyak tenaga kerja dan logistik yang diperlukan untuk menjadikan proses ini berjalan lancar dan untuk mencapai tahap kecekapan sebegini.
“Sebelum kami turun dari bas, seorang lelaki beruniform, anggota PASKAU (Pasukan Khas TUDM) memberi taklimat kepada kami mengenai langkah seterusnya. Sebaik tiba di hotel, sekumpulan anggota berpakaian lengkap Hazmat berdiri di meja panjang untuk tujuan saringan dan pendaftaran.”
Katanya, setiap bilik tempat mereka dikuarantin, disediakan 2 kotak air botol, beg plastik untuk pakaian kotor dan beg besar dipenuhi kopi dan makanan ringan, serta turut disediakan makanan berkhasiat 3 kali sehari – semuanya percuma.
Pasukan kuarantin itu turut memasukkan mereka dalam kumpulan WhatsApp dan mereka tidak putus-putus dibanjiri pesanan berbaur harapan, optimistik dan penghargaan untuk petugas barisan depan yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka.
“Mengapa saya menulis perkara ini? Ini adalah akaun utama individu yang merasai sendiri pengalaman meninggalkan negara asing dalam tempoh singkat dengan masa depan tidak menentu. Ini untuk menjelaskan cerita palsu atas talian yang mahu memburuk-burukkan negara tercinta kita.
“Ia bukanlah keterangan yang keterlaluan apabila saya katakan Malaysia antara negara paling proaktif dalam menangani ancaman Covid-19.
“Oleh itu saya menyeru ‘armchair economists’ di rumah yang hanya pandai bercakap – penentang berterusan – jika anda tidak dapat mengiktiraf kebaikan yang dilakukan kerajaan, sekurang-kurangnya janganlah jadi penghalang.”
Setakat ini, catatan di Facebooknya yang turut dilampirkan beberapa gambar sebagai sokongan meraih lebih 12,000 tanda suka, 8,600 perkongsian dan ribuan komen.
“Terima kasih sekali lagi Malaysia kerana menjaga keselamatan saya. Saya akan sentiasa bangga menjadi warganegara negara ini yang telah banyak berbakti kepada saya. Tanah tumpahnya darahku!,” tulis Shacind mengakhiri catatannya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.