`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 31, 2020

Menteri Indonesia dikecam buat lawak ‘virus seperti isteri anda’

Seorang ibu mendukung anaknya untuk menerima ujian antibodi Covid-19 di sebuah kampung di Bali, Indonesia. (Gambar AP)
JAKARTA: Seorang menteri Indonesia dikecam kerana membandingkan koronavirus dengan isteri memberontak, dalam kenyataannya untuk meredakan kebimbangan orang ramai terhadap pelonggaran sekatan Covid-19 di negara itu.
Kumpulan hak asasi wanita dan pengguna media sosial mengecam lawak dibuat Menteri Keselamatan, Mohammad Mahfud MD, menerusi ucapan dalam talian kepada sebuah universiti tempatan awal minggu ini.
“Adakah kita akan berkurung selamanya? Kita boleh sesuaikan diri dengan keadaan sambil memfokuskan kesihatan kita,” katanya pada Selasa lalu.
“Hari itu, saya dapat satu ‘meme’ daripada rakan sekerja saya yang berkata: Korona seperti isteri anda. Pada awalnya anda cuba mengawalnya, kemudian anda sedar tidak boleh. Maka anda belajar untuk hidup dengannya.”
Pengkritik menyifatkan kenyataan itu sebagai seksis dan berkata ia menekankan respons lemah Jakarta terhadap penularan Covid-19.
“Kenyataan ini bukan saja mencerminkan kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19, tetapi juga menunjukkan pemikiran seksis dan prejudis terhadap wanita dalam kalangan pegawai kerajaan,” kata Ketua Eksekutif Solidariti Wanita, Dinda Nisa Yura dalam satu kenyataan.
Pejabat Mahfud tidak memberi respons untuk komen pada Jumaat.
Indonesia mengerahkan kira-kira 340,000 anggota tentera untuk memastikan rakyatnya mematuhi penjarakan sosial ketika jangkitan Covid-19 meningkat di negara dengan jumlah penduduk ke-4 paling ramai di dunia.
Langkah itu menyusul rancangan kerajaan untuk membuka semula perniagaan pada minggu depan kerana bimbang ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu akan lumpuh.
Indonesia merekodkan kira-kira 24,000 kes positif Covid-19 dengan 1,496 kematian, tetapi republik dengan lebih 260 juta penduduk itu mempunyai kadar ujian saringan antara terendah di dunia.
Penyelidik menganggarkan jumlah kematian sebenar Covid-19 beberapa ganda lebih tinggi daripada angka rasmi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.