`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 4, 2020

Senarai gantung, pecat 88 ahli PKR Selangor belum muktamad, kata Lembaga Disiplin

Ahmad Kasim berkata, beberapa nama dalam proses semakan untuk dipertimbangkan semula.
PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim berkata, senarai penggantungan dan pemecatan lebih 80 ahli serta pemimpin parti di Selangor belum muktamad.
Ini kerana katanya, beberapa nama dalam proses semakan untuk dipertimbangkan semula.
“Semua senarai itu tidak sahih, ada semakan semula selepas mesyuarat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dalam senarai yang dilihat FMT itu, 38 individu dipecat, manakala 50 lagi digantung, dengan ada yang memegang jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sayap Pemuda dan Wanita serta ahli jawatankuasa di peringkat bahagian.
Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamad Talha dan Ahli MPP, Mohd Radzlan Jalaludin antara yang berada dalam senarai itu.
Difahamkan, surat penggantungan dan pemecatan itu dikeluarkan secara berperingkat oleh PKR.
Sementara itu, Radzlan ketika dihubungi FMT berkata, beliau menerima surat penggantungan keahliannya berkuat kuasa 6 April lalu.
Katanya, antara alasan penggantungan itu ialah beliau terbabit dengan kumpulan ahli Parlimen bebas dalam “Langkah Sheraton” dan menemui bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.
Beliau berkata, surat itu menyatakan 3 jawatan yang disandangnya ketika ini, setiausaha PKR Selangor, ahli MPP dan timbalan ketua bahagian Subang digugurkan secara automatik.
Haniza turut mengesahkan senarai penggantungan dan pemecatan itu.
Beliau dan Radzlan tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang akan dikenakan tindakan oleh PKR.
Pada 6 April lalu, PKR menggantung keahlian Haniza kerana menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.
Surat itu menyatakan Haniza menemui Azmin dan Zuraida, yang dipecat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti, di sebuah hotel di Damansara pada 26 Feb lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.